Malaysiakini
SUKAN

Edisi kedua e-Piala Malaysia 2020 berlangsung Ahad ini

Bernama

Diterbitkan
Dikemaskini 20 Nov 2020, 3:26 pagi

Liga Bola Sepak Malaysia (MFL) mengambil inisiatif untuk mengubat kekecewaan peminat bola sepak tanah air dengan mengumumkan edisi kedua kejohanan sukan elektronik (e-sukan) e-Piala Malaysia 2020.

MFL dalam kenyataan semalam memaklumkan penganjuran kali ini itu juga berdasarkan sambutan luar biasa peminat sukan itu dalam edisi pertama kejohanan yang diadakan dari 1 hingga 10 Julai lepas.

“Berikutan pembatalan Piala Malaysia musim ini disebabkan pandemik Covid-19, MFL mengambil peluang ini untuk mengubat kekecewaan penyokong bola sepak tempatan dengan menganjurkan kejohanan e-sukan ini secara dalam talian sambil berharap ia dapat menghidupkan kembali aura Piala Malaysia yang terjejas pada musim ini,” menurut kenyataan itu.

MFL memberitahu edisi kejohanan kali ini akan lebih menarik kerana ia memaparkan format baharu.

“Seramai 256 pemain amatur akan bersaing dalam pertandingan kalah mati untuk merebut slot lapan terbaik, mereka kemudian akan berhadapan dengan lapan lagi pemain daripada edisi sebelum ini pada pusingan akhir untuk meraih gelaran juara e-Piala Malaysia 2020.

“Kesemua 16 pemain akan diberi penghormatan mewakili 16 pasukan yang bersaing dalam Piala Malaysia 2020 iaitu Johor Darul Ta'zim (JDT), Kedah, Terengganu FC, Perak, Selangor, UiTM FC, PJ City FC, Pahang, Melaka, Sabah, Felda United FC, Pulau Pinang, Kuala Lumpur, Kuching FA, Kelantan, dan Kelantan United FC," menurut kenyataan itu.

MFL menjelaskan format pada pusingan akhir juga secara kalah mati manakala undian perlawanan antara pemain juga akan mengikut format sama seperti Piala Malaysia.

“Dengan sokongan daripada penerbit permain video Fifa, EA Sports untuk kejohanan ini, tidak mustahil pemain amatur di seluruh negara mampu melakar kejutan sekali gus berpeluang menceburi kerjaya yang lebih jauh dalam arena e-sukan,” menurut MFL.

Kejohanan e-Piala Malaysia 2020 akan berlangsung dengan pusingan kelayakan pada 22 Nov diikuti pusingan akhir dari 1 hingga 4 Dis. Juara kejohanan ini juga akan membawa pulang hadiah bernilai RM5,000.

Semua perlawanan akan disiarkan secara langsung dalam laman Facebook MFL bermula 7.45 malam setiap hari sepanjang kejohanan itu.

Orang ramai dan pemain e-sukan yang berminat menyertai dan inginkan maklumat lanjut tentang kejohanan itu boleh melayari https://bit.ly/ePM20Reg.

- Bernama 

Mulai 15 Oktober 2020, Malaysiakini versi BM memperkenalkan sistem komen baru yang lebih baik.

Untuk berhubung secara telus dan bertanggungjawab dengan pengulas lain, pembaca BM kini perlu menjadi pelanggan berbayar. Anda dapat mengakses kandungan semua bahasa dan menulis komen di semua platform Malaysiakini.

Bersatu sokong media bebas.

Iklan