Covid-19 buat Lewis Hamilton terlepas Grand Prix Sakhir
Seorang lagi personaliti berprofil tinggi dijangkiti Covid-19. Kali ini pemandu Formula One (F1), Lewis Hamilton, yang disahkan positif selepas menunjukkan gejala ringan virus tersebut.
Menurut kenyataan media dari pasukan Mercedes, jangkitan itu bermakna Hamilton akan terlepas daripada menyertai perlumbaan Grand Prix (GP) Sakhir di Bahrain minggu ini.
Pemandu Mercedes itu selesai melakukan tiga ujian Covid-19 pada minggu lalu termasuk pada Ahad di Litar Antarabangsa Bahrain, lapor Skysports yang memetik kenyataan media pasukan terbabit.
Namun dia disahkan positif hari ini.
“Pasukan Mercedes-AMG Petronas F1 dengan dukacitanya mengumumkan Lewis Hamilton disahkan positif Covid-19 dan tidak dapat mengambil bahagian dalam perlumbaan GP Sakhir pada minggu ini,” menurut kenyataan tersebut.
Hamilton kini sedang menjalani kuarantin mengikut protokol Covid-19 dan garis panduan pihak berkuasa kesihatan awam.
Pasukan Mercedes juga berkata mereka akan mengumumkan pengganti sementara untuk Hamilton dalam perlumbaan tersebut.
Stoffel Vandoorne dan Esteban Gutierrez merupakan pemandu simpanan pasukan tersebut.
Pada masa sama, semua kontak rapat Hamilton telah dikenal pasti dan prosedur yang sewajarnya telah dijalankan.

