Barisan pemain negara dituntut bangkit mempamerkan aksi cemerlang pada pusingan akhir Jelajah Dunia Persekutuan Badminton Dunia yang akan berlangsung selama lima hari bermula esok di Stadium Tertutup Huamark, Bangkok.

Presiden Persatuan Badminton Malaysia (BAM), Mohamad Norza Zakaria berkata skuad negara sepatutnya mengambil peluang menampilkan aksi terbaik pada kejohanan menawarkan wang tunai keseluruhan berjumlah US$1.5 (RM6.066 juta) itu kerana mempunyai penyertaan terbanyak seramai enam wakil diketuai perseorangan lelaki utama negara, Lee Zii Jia serta lima pasangan beregu.

Selain itu, selain ketiadaan wakil dari China dan Jepun yang menarik diri akibat pandemik Covid-19 seharusnya digunakan sebaik mungkin oleh wakil negara untuk mencipta keputusan positif pada kejohanan penutup tirai musim 2020 itu, katanya.

Mohamad Norza menegaskan tidak mahu prestasi hambar dalam kalangan pemain senior negara masih berulang sebagaimana ditampilkan pada dua kejohanan bertaraf Jelajah Dunia Super 1000 baru-baru ini, Yonex Terbuka Thailand (12-17 Jan) dan Toyota Terbuka Thailand (19-24 Jan).

Hanya pasangan beregu lelaki muda negara, Aaron Chia-Soh Wooi Yik yang mempamerkan aksi cemerlang setelah mara ke aksi final Toyota Terbuka Thailand sebelum tewas 13-21 dan 18-21 kepada beregu ketujuh dunia, Lee Yang-Wang Chi-Lin dari Taiwan.

“Prestasi ditunjukkan pemain lebih baik (pada Toyota Terbuka Thailand) berbanding kejohanan sebelum itu, namun seperti biasa kita lihat pemain muda lebih menyerlah berbanding pemain senior.

“Kalau tengok pasangan beregu campuran, kita gagal ke suku akhir (kedua-dua kejohanan itu kecuali pasangan muda Hoo Pang Ron-Cheah Yee See, dan walaupun (beregu wanita negara) Chow Mei Kuan-Lee Meng Yean mara ke separuh akhir (Toyota Terbuka Thailand), prestasi mereka agak mengecewakan,” katanya.

Dalam pada itu, beliau berharap agar beberapa pemain muda negara seperti Zii Jia serta Chia-Soh dapat memperbaiki prestasi masing-masing walaupun mereka sudah menampilkan aksi terbaik pada dua kejohanan di Bangkok itu.

Zii Jia mara sehingga ke suku akhir Yonex Terbuka Thailand, namun terkandas seawal pusingan pertama pada Toyota Terbuka Thailand, manakala Chia dan Soh yang tewas pada aksi pusingan awal Yonex Terbuka Thailand, meraih gelaran naib juara Toyota Terbuka Thailand.

Selain Zii Jia serta Chia-Soh, empat wakil negara yang bakal beraksi pada kejohanan pusingan akhir itu adalah pasangan profesional negara, Ong Yew Sin-Teo Ee Yi dalam acara beregu lelaki, Chow Mei Kuan-Lee Meng Yean serta Vivian Hoo-Yap Cheng Wen (beregu wanita), selain gandingan Goh Soon Huat-Shevon Jemie Lai dalam acara beregu campuran.

-Bernama