mk-logo
Sukan
Ahli Parlimen Bukit Mertajam minta maaf pada Chong Wei
Diterbitkan:  Feb 9, 2021 8:28 AM
Dikemaskini: 4:25 AM

Ahli Parlimen Bukit Mertajam Steven Sim malam tadi membuat permohonan maaf kepada Lee Chong Wei kerana 'menyusahkan' jaguh badminton negara itu.

Kata Sim gara-gara tindakan Lee memberi sumbangan kepada programnya, bekas atlet terbabit dilempar dengan pelbagai kecaman.

Malah kata Sim ada yang mencadangkan agar gelaran Datuk yang diberikan kepada Lee ditarik balik.

"Chong Wei, saya minta maaf kerana susahkan kamu.

"Saya berasa amat sedih membaca berita bahawa Lee Chong Wei dikecam oleh sesetengah pihak kerana memberi sumbangan kepada kempen Asal Cek Mau Pi Sekolah.

"Sampai mereka gesa gelaran Datuk beliau ditarik balik kononnya kerana sokong DAP," kata Sim dalam satu kenyataan malam tadi.

Asal Cek Mau Pi Sekolah merupakan inisiatif Sim untuk membantu pelajar kurang berkemampuan di kawasan Bukit Mertajam mengikuti sesi pembelajaran di rumah.

Ia dilancarkan pada 24 Jan lalu dan terbahagi kepada lima inisiatif iaitu perkhidmatan mencetak kerja rumah secara percuma, kelas bimbingan dalam talian percuma, tambah nilai data internet, program anak angkat MP Bukit Mertajam dan komputer riba percuma.

Tak ada logo, tak tanya parti

Melalui program itu Sim dan petugasnya mengumpulkan dana atau peranti yang bersesuaian untuk diserahkan kepada pelajar yang layak tanpa diikat banyak syarat.

Sebelum ini - pada 5 Feb lalu - Lee menyumbangkan 50 unit tablet untuk kempen berkenaan. Bagaimanapun beberapa hari kemudian tokoh yang berasal dari Bukit Mertajam itu menambah lagi sumbangannya.

Kali ini Lee mahu menyumbangkan 20 komputer riba pula. 

Menurut Sim gara-gara sumbangan tersebut Lee dituduh menyokong DAP walaupun langkah berkenaan sebenarnya tiada sebarang kaitan dengan politik.

Malah, kata Sim, jika benar Lee menyokong DAP pun ia bukanlah satu kesalahan.

"Tapi masalahnya, tindakan Chong Wei bukan kerana politik sebaliknya kerana dia ingin membantu anak-anak kita.

"Hati saya terasa amat pilu sekali. Kita ke hulu ke hilir mencari laptop, mencari keluarga miskin, mencari anak-anak yang hendak belajar tapi tak ada peranti.

"Datang orang yang murah hati macam Chong Wei, kerja kita jadi ringan sedikit. Tapi dia buat baik, dia pula dikatakan macam-macam. Adakah adil?" kata bekas timbalan menteri belia dan sukan itu lagi.

Menurut Sim semasa mengagihkan bantuan pihaknya tidak bertanya penerima siapakah atau parti manakah yang mereka sokong.

"Apabila kita beri laptop/tablet, kita tak lekat logo parti politik, tak tulis undi DAP, tak suruh sokong Pakatan Harapan.

"Laptop hanya ada logo syarikat pengeluar, tablet hanya ada cap jenama. Macam mana saya beli dan dapat dari penjual, macam itu juga saya serahkan kepada anak-anak kita," katanya.

 

Lihat Komen
ADS