Pemain berdarah kacukan Belgium-Malaysia Dion Cools sah menyarung jersi skuad Harimau Malaya bagi menghadapi pusingan kedua Kelayakan Piala Dunia 2022/Piala Asia 2023 di Dubai, Emiriah Arab Bersatu (UAE), bulan ini.
Perkara tersebut disahkan Presiden Persatuan Bola Sepak Malaysia (FAM), Hamidin Mohd Amin dalam kenyataan di laman Facebook rasmi badan induk bola sepak negara itu.
Menurut FAM, Cools, 24, yang beraksi bersama pasukan Liga Denmark, FC Midtjylland tiba di hotel penginapan skuad kebangsaan di Dubai hari ini.
Ketibaan Cools setelah segala proses dokumentasi di peringkat Persekutuan Bola Sepak Antarabangsa (FIFA) dan Konfederasi Bola Sepak Asia (AFC) selesai terutama berhubung status kelayakan beliau dan pendaftaran bersama pasukan.
“Dengan kehadiran beliau, ia dapat memberi nilai tambah serta memperkasakan lagi pasukan Harimau Malaya,” kata Hamidin.
Cools, yang mana bapanya rakyat Belgium dan ibunya warga Malaysia menjadi pemain ke-26 skuad Harimau Malaya selepas pengendali Tan Cheng Hoe menyenaraikan 25 pemain bagi menghadapi kempen Kelayakan Piala Dunia 2022/Piala Asia 2023.
Pada kempen kelayakan itu, Malaysia akan berdepan UAE pada Khamis ini, Vietnam (11 Jun) dan Thailand (15 Jun) dalam saingan Kumpulan G.
Sebelum ini, khabar angin mengenai kemasukan Cools yang pernah beraksi dalam saingan Liga Juara-juara Eropah bersama FC Midtjylland ke dalam skuad negara itu sudah berlegar dalam kalangan peminat sejak minggu lepas.
Ini berikutan kenyataan dimuat naik di laman sesawang kelabnya menyatakan beliau mendapat panggilan pertama untuk menyertai pasukan kebangsaan Malaysia sebelum nama Cools dipadam kemudiannya.
Lahir di Kuching, Sarawak, pemain dengan ketinggian 1.85 m itu telah diturunkan sebanyak 32 kali oleh FC Midtylland sepanjang musim 2019/20 dan 2020/21, termasuk tiga kali dalam saingan Liga Juara-juara Eropah.
Beliau menampilkan prestasi memberangsangkan ketika berdepan pemain Liverpool FC seperti Mohamed Salah, Roberto Firmino dan Diogo Jota dalam aksi Kumpulan D Liga Juara-juara Eropah musim ini.
FAM sebelum ini pernah cuba membawa Cools untuk beraksi bersama skuad Harimau Malaya, namun beliau dikatakan tidak bersedia ketika itu kerana mahu terlebih dahulu memberi fokus dalam kerjayanya di Eropah.
- Bernama
