Malaysiakini
SUKAN

BAM tiada masalah Peng Soon-Liu Ying dan Soniia berlatih di ABM

Bernama

Diterbitkan

Persatuan Badminton Malaysia (BAM) tidak melihat penyertaan tiga pemain profesional iaitu gandingan beregu campuran Chan Peng Soon-Goh Liu Ying serta pemain perseorangan wanita Soniia Cheah untuk berlatih di Akademi Badminton Malaysia (ABM) Bukit Kiara sebagai masalah kepada pasukan negara.

Presidennya Mohamad Norza Zakaria menegaskan, persatuan itu tidak pernah menetapkan sebarang piawaian bagi mana-mana pemain untuk menjalani latihan persiapan di ABM menjelang Sukan Olimpik Tokyo di Jepun bulan depan.

“Mereka (Peng Soon, Liu Ying, Soniia) juga wakil negara, dan akan turun bersama sebagai satu pasukan.

"BAM akan tetap memberikan sokongan padu kepada semua, tidak kira (sama ada) mereka bernaung di bawah BAM atau luar BAM,” katanya kepada Bernama di Kuala Lumpur baru-baru ini.

Media sebelum ini melaporkan BAM mengundang mereka bertiga untuk menjalani latihan di ABM sebagai persiapan menghadapi temasya sukan terbesar dunia itu.

Ia juga sebagai langkah menghimpunkan semua pemain yang akan beraksi di Sukan Olimpik Tokyo di bawah satu bumbung susulan peningkatan kes Covid-19 sehingga menyaksikan perintah kawalan pergerakan (PKP), kembali dilaksanakan baru-baru ini.

Peng Soon-Liu Ying yang juga pemenang pingat perak Olimpik Rio 2016 melapor diri untuk menjalani kem latihan secara kuarantin bersama pasukan negara di ABM pada 24 Mei lepas.

Soniia pula dikhabarkan bakal menyertai gandingan berkenaan hujung bulan ini.

Keputusan menjalani latihan sepenuh masa di ABM itu dilakukan selepas semua gelanggang ditutup susulan PKP.

Untuk rekod, Peng Soon-Liu Ying meninggalkan BAM pada Dis 2018, manakala Soniia pula digugurkan daripada badan induk sukan badminton itu pada Feb lalu susulan prestasi mengecewakan di tiga kejohanan di Thailand awal tahun ini.

Terdahulu, Peng Soon-Liu Ying serta Soniia merupakan wakil profesional negara yang telah layak beraksi pada temasya sukan terbesar dunia di Tokyo nanti.

Mereka turut disertai oleh lima lagi pemain di bawah BAM iaitu perseorangan lelaki utama negara Lee Zii Jia, beregu lelaki Aaron Chia-Soh Wooi Yik dan beregu wanita Chow Mei Kuan-Lee Meng Yean.

Sukan Olimpik Tokyo dijadual berlangsung dari 23 Julai hingga 8 Ogos.

- Bernama

Beri pendapat anda!

Jadi pelanggan Malaysiakini untuk menjadi pengulas berita. Anda dapat mengakses kandungan semua bahasa dan menulis komen di semua platform Malaysiakini.

Bersatu sokong media bebas.