Zii Jia tidak endah komen bandingkannya dengan Chong Wei
Pemain perseorangan badminton negara, Lee Zii Jia tidak mengendahkan dan memilih mengabaikan komen-komen yang membandingkannya dengan pemenang pingat perak Olimpik tiga kali, Lee Chong Wei, ketika menjelangnya Sukan Olimpik Tokyo, bulan depan.
Juara All England 2021 itu berkata fokus beliau kini ialah meneruskan misi beraksi buat julung kalinya pada Sukan Olimpik, tanpa sebarang tekanan.
“Saya sedar bahawa ramai yang membandingkan saya dengan Chong Wei selama ini.
"Saya tidak peduli komen-komen tersebut. Saya harap saya dapat berlepas ke Tokyo dalam prestasi terbaik dan tidak berasa tertekan sama sekali,” katanya dalam video yang dimuat naik di laman Facebook Persatuan Badminton Malaysia.
Zii Jia yang ketika ini berada pada kedudukan kelapan dunia turut berharap dapat merangkul pingat dalam temasya sukan pelbagai terbesar di dunia itu.
Pemain berusia 23 tahun itu tidak mementingkan warna pingat asalkan beliau dapat mengharungi cabaran dan melakukan yang terbaik ketika beraksi di Musashino Forest Sports Plaza.
Pemain berasal dari Kedah itu menjadi antara pesaing utama pingat di Tokyo berikutan kejayaan merangkul gelaran juara All England setelah mengalahkan pemain nombor dua dunia, Viktor Axelsen dari Denmark 30-29, 20-22, 21-9 di final di Birmingham pada Mac lepas.
Zii Jia bersama-sama tujuh lagi pemain akan menyertai Sukan Olimpik Tokyo, ialah Soniia Cheah (perseorangan wanita); Aaron Chia-Soh Wooi Yik (beregu lelaki); Chow Mei Kuan-Lee Meng Yean (beregu wanita); dan Chan Peng Soon-Goh Liu Ying (beregu campuran).
Sukan Olimpik Tokyo akan berlangsung dari 23 Julai-8 Ogos.
-Bernama

