Paling Popular
Terkini
mk-logo
Sukan
Olimpik: Hanya tiga daripada 8,000 orang yang tiba di Tokyo positif Covid-19

Hanya tiga daripada lebih 8,000 orang yang tiba di Jepun dari 1 hingga 13 Julai untuk menyertai Sukan Olimpik Tokyo telah diuji positif Covid-19, menurut Jawatankuasa Olimpik Antarabangsa (IOC).

Kenyataan IOC hari ini menyebut sembilan hari sebelum upacara pembukaan, ia dimaklumkan oleh Jawatankuasa Penganjur Tokyo 2020 bahawa ketiga-tiga individu yang diuji positif sejurus ketibaan segera telah diasingkan manakala kontak rapat mereka dikuarantin.

Menurut kenyataan itu, semua individu adalah tertakluk kepada rejim ujian saringan Tokyo 2020 dan telah menjalani ujian praperlepasan serta pemeriksaan kesihatan.

Semua atlet dan pegawai yang terlibat dalam temasya itu, yang dijadual berlangsung dari 23 Julai hingga 8 Ogos, perlu menjalani ujian harian selama tiga hari berturut-turut sebelum berlepas dan ujian harian bagi atlet serta kontak rapat sejurus tiba di Tokyo.

Media antarabangsa sebelum ini melaporkan bahawa dua anggota delegasi Olimpik dari Uganda pada bulan lepas dan seorang anggota pasukan mendayung Serbia pada awal bulan ini, didapati positif koronavirus sejurus tiba di Tokyo.

Terdahulu, Presiden IOC Thomas Bach, yang bertemu Perdana Menteri Jepun Yoshihide Suga, menzahirkan setinggi-tinggi penghormatan dan penghargaan kepada kerajaan serta rakyat Jepun.

“Atlet dari seluruh dunia kini tiba di Tokyo. Temasya ini akan menyatukan dunia dalam semua kepelbagaian kita. Mereka akan membuktikan bahawa kita lebih kuat jika bersama-sama dalam semua solidariti kita,” menurutnya dalam satu kenyataan.

Beliau berkata Jawatankuasa Penganjur telah melakukan tugas yang hebat dalam melakukan persiapan bagi temasya sukan itu dan menjadikan Tokyo sebagai bandar terbaik Olimpik dari segi persediaan.

Bach juga berkata 85 peratus daripada atlet serta pegawai akan tinggal di Perkampungan Olimpik dan hampir 100 peratus anggota IOC serta kakitangannya sama ada telah divaksin atau imun.

Katanya bagi wakil media antarabangsa, kadar mereka yang telah divaksin ialah sekitar 70 hingga 80 peratus.

-Bernama

Lihat Komen
ADS