Isu tunggakan gaji pemain Melaka: Musa cari jalan terbaik
Persatuan Bola Sepak Melaka United (MUSA) akan mencari jalan terbaik bagi menangani masalah tunggakan gaji pemain pasukan itu, kata Presidennya Datuk Seri Sulaiman Md Ali.
Beliau berkata perkara itu akan dibincangkan dalam Kongres Tahunan Ke-66 persatuan itu pada 16 Jan ini.
"Tunggu pada kongres tersebut kami akan bincangkan mengenai masalah ini," katanya kepada pemberita selepas merasmikan Seminar Bemban Maju Jaya 2022 di sini, hari ini.
Semalam tular tangkap layar perbualan menerusi aplikasi WhatsApp antara Tunku Mahkota Johor (TMJ) Tunku Ismail Sultan Ibrahim yang juga Penaung Persatuan Pemain Bolasepak Profesional Malaysia (PFAM) dan Sulaiman yang juga Ketua Menteri Melaka.
Baginda memberi teguran dan menasihati Sulaiman supaya mengambil perhatian segara mengenai isu yang membelenggu skuad Sang Kancil itu.
Sementara itu, pengurusan Kelab Bola Sepak Melaka United (MUFC) turut memberi jaminan isu tunggakan gaji pemain dan pegawai pasukan bagi musim 2021 akan diselesaikan dalam masa terdekat.
Dalam kenyataannya MUFC memaklumkan perkara tersebut akan diselesaikan secepat mungkin berikutan kelab itu kini dalam proses akhir penstrukturan semula dari segi pentadbiran dan kewangan.
“Pihak pengurusan kelab memberi jaminan untuk menyelesaikan semua tunggakan dalam masa terdekat bagi memastikan perancangan bagi tahun 2022 berjalan lancar," katanya.
- Bernama

