Ucapan tahniah dan kesyukuran mencurah-curah hadir sejurus selepas legenda bola sepak Belanda, Clarence Seedorf, mengumumkan dia sudah mengucap dua kalimah syahadah.

Antara personaliti yang dilihat mengucapkan tahniah ialah bekas pemain kebangsaan Perancis yang pernah menyarung jersi Manchester United, Patrice Evra.

Melalui komen di media sosial Seedorf, Evra, 40, meninggalkan catatan: "Mashallah bro".

Tindakan Seedorf memilih Islam itu diumumkan pemain berusia 45 tahun itu melalui media sosial semalam dan mendapat reaksi daripada orang ramai di seluruh dunia.

Dia merupakan satu-satunya pemain bola sepak yang berjaya menjulang trofi Liga Juara-juara tiga kali melalui tiga kelab berbeza. Rekod itu sehingga kini gagal dipadamkan sesiapa termasuk Christiano Ronaldo atau Lionel Messi.

"Terima kasih yang teristimewa untuk segala mesej yang indah bagi meraikan saya menyertai keluarga Muslim," kata Seedorf dalam hantaran di media sosial berkenaan.

Difahamkan bekas pengurus AC Milan dan skuad kebangsaan Cameroon itu mempelajari selok-belok Islam daripada isterinya, Sophia Makramati.

Wanita berdarah Iran itu lahir di Kanada. Bagaimanapun tidak banyak maklumat diketahui mengenai Sophia. Malah usianya saja tidak dapat disahkan, namun dianggarkan antara 35 - 43 tahun.

Tidak lama selepas Seedorf mengumumkan status agamanya, Sophia turut mengemas kini media sosialnya.

"Saya sangat bangga dan gembira untuk menjadi sebahagian daripada detik istimewa serta indah ini apabila cinta saya @clarenceseedorf menyertai keluarga Muslim.

"Selamat datang dan semoga kamu terus diberkati dan menjadi inspirasi kepada dunia," katanya.

Sepanjang tempoh menjadi pemain bola sepak, Seedorf beraksi untuk skuad Belanda sebanyak 87 kali selain pernah beraksi sehingga ke peringkat separuh akhir Piala Dunia.

Di peringkat kelab pula aksinya banyak diingati sebagai watak penting dalam skuad AC Milan, Real Madrid dan Ajax.