Adun kritik jawatan pengarah MSN Melaka kosong selama 2 tahun
Bekas Exco Komunikasi, Multimedia, NGO, Belia dan Sukan Melaka Kerk Chee Yee mengkritik isu kekosongan jawatan Pengarah Majlis Sukan Negeri (MSN) yang tidak diisi sejak dua tahun lalu.
“Saya menyifatkan keputusan tersebut sebagai ‘political purging’ dan ia tidak membantu dalam memastikan peralihan kuasa yang lancar,” kata Adun Ayer Keroh itu dalam satu kenyataan hari ini.
Pada persidangan Dewan Undangan Negeri (DUN) Melaka sebelum ini, kerajaan negeri mengesahkan terdapat dua nama yang dicadangkan untuk mengisi jawatan itu dalam tempoh dua tahun yang lalu.
Bagaimanapun, kedua-dua nama itu ditolak oleh Suruhanjaya Perkhidmatan Awam Malaysia (SPA) atas sebab “taraf pendidikan dan pengalaman dalam bidang sukan”.
“Ini boleh bermaksud, calon-calon tersebut adalah lantikan politik dan bukan daripada cadangan SPA (kalau cadangan SPA, tidak akan wujud masalah tidak memenuhi syarat atau kelayakan.
“Saya amat terkejut dan kecewa kerana kerajaan negeri tidak memberi keutamaan dalam melengkapkan struktur MSN sehingga jawatan Pengarah MSN boleh kosong sehingga dua tahun dan hanya dipangku oleh penyandang,” katanya.
Jawatan itu sebelum ini disandang oleh Arifin Ghani yang telah ditamatkan kontrak peminjaman pada April 2020, selepas pertukaran kerajaan negeri Melaka.
Pada masa sama, Kerk meluahkan kekesalannya apabila beberapa isu yang berada dalam perancangannya sebelum ini tidak dilaksanakan.
Antaranya pembangunan e-Sports yang memerlukan latihan yang wajar kerana ia bakal ditandingkan dalam Sukan Malaysia (Sukma), dilema yang dihadapi oleh atlet di peringkat akar umbi dan pembangunan beberapa bidang sukan yang berpotensi diabaikan atau memerlukan kemudahan tertentu.

