Paling Popular
Terkini
mk-logo
Sukan
Johor hadiahkan RM8,000 kepada atlet karate pekak Yilamaran
Diterbitkan:  May 4, 2022 10:01 AM
Dikemaskini: 2:01 AM

Kerajaan Negeri Johor akan menghadiahkan RM8,000 kepada atlet karate pekak negara, V Yilamaran atas kejayaan beliau mengharumkan nama negeri dan negara di persada dunia.

Menteri Besar Johor Datuk Onn Hafiz Ghazi berkata pemberian itu sebagai tanda penghargaan kepada Yilamaran yang merupakan anak kelahiran Johor.

“Setinggi-tinggi tahniah kepada atlet negara, Yilamaran a/l Vispalingam yang meraih pingat perak acara kumite bawah 84 kilogram pada kejohanan Karate Deaflympic di Brazil.

“Atlet kelahiran Johor itu menempa sejarah tersendiri apatah lagi ini pertama kali negara mengambil bahagian acara itu di peringkat dunia dan merangkul pingat untuk kontinjen Malaysia,” katanya dalam hantaran menerusi laman Facebook.

Beliau berkata kejayaan membanggakan itu tentunya menjadi pembakar semangat buat seluruh bangsa Johor untuk sentiasa berusaha meraih kejayaan dalam apa jua yang dilakukan.

Yilamaran berjaya menghadiahkan pingat pertama pada temasya Sukan Deaflympic ke-24 di Caxias do Sul, Brazil, semalam (awal pagi Selasa di Malaysia).

Atlet berusia 22 tahun itu merangkul perak selepas tumpas kepada Makhno Oleksanr dari Ukraine pada aksi final.

- Bernama

Lihat Komen
ADS