Paling Popular
Terkini
Lagi berita seperti ini

India semakin hampir mencipta sejarah untuk menjulang Piala Thomas buat pertama kalinya setelah meraih kemenangan 3-2 ke atas juara 2016, Denmark, di Bangkok hari ini.

Perlawanan separuh akhir yang berlangsung di Impact Arena itu, menyaksikan perseorangan ketiga mereka Prannoy H.S. menjadi wira, selepas menang 13-21, 21-9, 21-12 ke atas Rasmus Gemke, sekaligus mencatatkan kemenangan dramatik terhadap ‘The Valkyrie’.

Terdahulu, India bangkit setelah ketinggalan untuk mencatat kemenangan ke atas Denmark yang mendapat mata pertama, selepas pemain nombor satu dunia Viktor Axelsen menewaskan pemain perseorangan utama mereka Lakshya Sen, 13-21, 13-21.

Bagaimanapun pasangan Satwiksairaj Rankireddy-Chirag Shetty menjadikan kedudukan 1-1, selepas mereka mengalahkan pasangan Kim Astrup-Mathias Christiansen dalam satu lagi perlawanan tiga set yang mendebarkan, 21-18, 21-23, 22-20.

India kemudiannya mendahului selepas pemain perseorangan kedua mereka Kidambi Srikanth berjaya mengatasi Anders Antonsen dalam satu lagi perlawanan getir, 21-18, 12-21, 21-15, sebelum ‘The Danes’ mengikat kedudukan menjadi 2-2, menerusi pasangan Anders Skaarup Rasmussen-Frederik Sogaard yang menewaskan Krishna Prasad Garaga-Vishnuvardhan Goud Panjala, 21-14, 21-13.

India akan bertemu Indonesia, yang kini dalam usaha mengekalkan kejuaraan mereka, selepas mengalahkan juara edisi 2014, Jepun, 3-2.

Pasukan pilihan itu berjaya mendapatkan mata pertama mereka selepas pemain perseorangan utama mereka Anthony Sinisuka Ginting berjaya mengatasi Kento Momota, 21-12, 14-21, 21-12, dalam perlawanan 81 minit.

Pasangan Mohammad Ahsan-Kevin Sanjaya Sukamuljo menjadikan kedudukan 2-0 selepas berjaya mengatasi juara dunia Takuro Hoki-Yugo Kobayashi, 22-20, 8-21, 24-22.

Namun Kenta Nishimoto berjaya memberikan Jepun mata pertama selepas mengalahkan Jonatan Christie 22-20, 21-13, sebelum pasangan Akira Koga-Yuta Watanabe menghidupkan peluang Jepun dengan memberikan mata kedua selepas mengalahkan Fajar Alfian-Muhammad Rian Ardianto 21-14, 13-21, 21-18.

Bagaimanapun, Shesar Hiren Rhustavito menafikan usaha Jepun untuk bangkit semula selepas beliau mengalahkan Kodai Naraoki 21-17, 21-11 dalam masa 44 minit dan seterusnya membawa juara bertahan itu ke peringkat akhir pada Ahad.

Sementara itu Piala Uber menyaksikan juara 15 kali dan juara bertahan China, menghancurkan harapan Thailand untuk ke akhir, dengan mengalahkan pasukan tuan rumah itu 3-0 pada separuh akhir, manakala Korea mengejutkan pemenang tempat kedua edisi 2020 Jepun, 3-0 sekali gus layak ke perlawanan akhir mereka yang pertama sejak 2016.

-Bernama

Lihat Komen
ADS