Kementerian Belia dan Sukan (KBS) mengambil keputusan menutup Stadium Nasional Bukit Jalil, bermula 15 Jun ini, kata Menteri Belia dan Sukan Ahmad Faizal Azumu.

Menurutnya, keperluan baik pulih dan penambahbaikan adalah amat mendesak dan tidak boleh ditangguhkan.

"Dengan ini, KBS ingin memaklumkan bahawa Stadium Nasional Bukit Jalil (SNBJ) akan ditutup mulai 15 Jun bagi kerja baik pulih dimulakan," katanya dalam kenyataan media hari ini.

Pada 11 Jun lalu, tular rakaman video memaparkan keadaan padang stadium berkenaan ditakungi air selepas hujan lebat.

Klip video itu dipercayai dirakam sebelum aksi kelayakan Piala Asia 2023 antara Malaysia dan Bahrain.

Situasi itu menjadi perhatian selepas beberapa petugas dilihat menggunakan penyodok dan kadbod dalam usaha mengatasi masalah air bertakung sekali gus dikritik pelbagai pihak.

Sementara itu. Ahmad Faizal berkata, pihaknya memandang serius terhadap isu kualiti padang serta fasiliti Stadium Nasional dan tidak boleh terus memperjudikan maruah negara dengan melengahkan lagi tindakan yang sewajarnya.

"Isu kualiti padang serta fasilitinya adalah isu legasi yang harus ditangani secara pantas dan tuntas.

"Perancangan awal KBS adalah menutup stadium itu pada penghujung Mac 2023 untuk memulakan kerja-kerja baik pulih namun keadaan semasa memerlukan tindakan yang lebih segera," katanya.