Sierra Leone siasat dua perlawanan bola sepak dengan keputusan 91-0, 95-0
GLOBAL | Persatuan Bola Sepak Sierra Leone (SLFA) dilaporkan menyiasat dua perlawanan bola sepak yang berakhir dengan keputusan 91-0 dan 95-0.
Ia kerana keputusan perlawanan divisyen pertama itu dilihat sebagai tidak praktikal, menurut Reuters.
Ia melibatkan pasukan Gulf FC yang menewaskan Koquima Lebanon 91-1 dan Lumbenbu United yang menewaskan Kahula Rangers 95-0.
Menurut laporan itu, SLFA dalam kenyataan berkata pihaknya sedang menyiasat pegawai dan pemain yang terlibat.
Menurut SLFA, orang ramai tidak perlu bimbang kerana siasatan menyeluruh sedang dibuat dan pihak yang didapati bersalah akan dikenakan tindakan undang-undang.
Jika disahkan, dua keputusan itu akan menjadi antara keputusan terbesar dalam sejarah bola sepak.
Pada masa ini, keputusan terbesar yang direkodkan adalah perlawanan antara AS Adema dan SO l'Emyrne, di mana AS Adema menang 149-0.
Perlawanan itu berlangsung di Madagascar pada 2002.
Dalam perlawanan itu, pemain SO l'Emyrne menjaringkan gol sendiri sebagai protes terhadap keputusan pengadil.

