SUKAN KOMANWEL | Skuad ping pong wanita negara berada di landasan tepat untuk membawa pulang sebutir pingat selepas melakar kejutan dengan menyingkirkan juara bertahan, India, 3-2, pada saingan suku akhir Birmingham 2022, di bandar raya itu hari ini.

Gandingan Karen Lyne-Alice Chang membuka kempen dengan langkah kanan apabila menewaskan Reeth Teenison-Sreeja Akula, 11-7, 11-6, 5-11, 11-6, dalam acara beregu.

Bagaimanapun, India menyamakan kedudukan selepas Manika Batra bangkit daripada ketinggalan dua set untuk menewaskan Ho Ying. 8-11, 5-11, 11-8, 11-9, 11-3 dalam acara perseorangan.

Namun, Karen mencetuskan semangat kebangkitan apabila menundukkan Batra, 11-6, 11-3, 11-9 sebelum Ho Ying menebus kekecewaan dengan mengesahkan tempat ke separuh akhir apabila menewaskan Teenison,10-12, 11-8, 6-11, 11-9, 11-9.

Malaysia akan berdepan dengan Wales pada saingan separuh akhir esok.

Sebelum itu, Wales melangkah ke separuh akhir dengan mengalahkan tuan rumah, England, 3-0.

- Bernama