Bekas menteri belia dan sukan, Syed Saddiq Syed Abdul Rahman dan bekas timbalannya, Steven Sim menafikan dakwaan perdana menteri bahawa kebajikan atlet terabai sewaktu pentadbiran kerajaan Pakatan Harapan (PH).

Menyifatkan dakwaan itu sebagai pembohongan, mereka berkata setiap pelan dan dasar kebajikan atlet dirancang bersama oleh KBS di bawah pentadbiran PH.

"Adakah perdana menteri Ismail Sabri juga sedang menafikan usaha seluruh keluarga Kementerian Belia dan Sukan yang bekerja siang malam dan membuat siri-siri perbincangan untuk merealisasikan industri sukan yang cemerlang dan berkebajikan?

"Apakah pula jawapan perdana menteri apabila peruntukan kepada Kementerian Belia dan Sukan telah jatuh di bawah pemerintahan Umno-BN dari RM1.2 bilion (2019-PH) kepada RM622 juta (2022-Umno BN)?" soal mereka dalam satu kenyataan.

Semalam, Perdana Menteri Ismail Sabri Yaakob berkata, kerajaan PH yang mentadbir negara selama 22 bulan pernah berhasrat menutup Yayasan Kebajikan Atlet Kebangsaan (Yakeb).

Berucap ketika merasmikan Mesyuarat Agung Tahunan (AGM) Yakeb ke-7, Ismail berkata, sepanjang PH mentadbir, sumbangan kewangan kepada yayasan berkenaan untuk menjaga kebajikan dan membantu bekas atlet negara tidak disalurkan seperti biasa.

Bagaimanapun Syed Saddiq dan Steven berkata, Yakeb menerima sokongan kewangan RM3 juta untuk membantu lebih 2,742 bekas atlet kebangsaan.

"Inisiatif ini telah menambahupaya Yakeb untuk menyediakan pelbagai khidmat kebajikan kepada bekas atlet termasuk menampung kos rawatan dengan pelan perubatan sebanyak RM20,000 kepada setiap ahli.

"Kenapa kerajaan PN dan BN tidak memberikan peruntukan tahunan RM3 juta kepada Yakeb pada tahun 2020 dan 2021 seperti yang dilakukan oleh PH pada tahun 2019?” soalnya.

Menurut mereka lagi, Ismail tidak boleh 'cuci tangan' dengan mudah kerana sewaktu dia menjadi ahli kabinet kanan, Yakeb dipinggirkan oleh BN dan PN sedangkan ramai bekas atlet memerlukan bantuan apabila pandemik Covid-19 melanda negara.

"Kebajikan atlet adalah keutamaan kerajaan Pakatan Harapan. Banyak lagi agenda besar yang dirancang sebelum kerajaan bertukar tangan. Mesej kami jelas – perdana menteri usah berbohong kepada rakyat," tegasnya.