'Tak bayar, tak main', kata pemain Sarawak United
Langkah pemain bola sepak Sarawak United Football Club (SUFC) kini menimbulkan tanda tanya selepas mereka enggan bermain sebarang perlawanan sehingga gaji mereka dibayar.
Sama ada mereka akan beraksi pada perlawanan yang dijadualkan esok menentang Negeri Sembilan pada pukul 8.15 malam masih belum dapat dipastikan.
Sumber memberitahu Malaysiakini tunggakan gaji pemain selama empat bulan telah mula dibayar secara berperingkat mulai hari ini.
Gaji bulan Mei telah dimasukkan ke akaun pemain setakat pagi ini dan gaji bagi Jun pula akan dikreditkan lewat hari ini, menurut sumber berkenaan.
“Mungkin esok (pengurusan akan bayar) gaji untuk baki dua bulan lagi.
“Tetapi pemain hanya akan bermain (dalam perlawanan esok) jika mereka (pengurusan) membayar baki gaji,” kata sumber itu.
Malaysiakini difahamkan pemain tidak menjalani latihan sejak 26 Ogos.
Ini selepas memo dalaman bertarikh 7 Ogos di mana presiden SUFC, Posa Majais berjanji kepada pemain bahawa bayaran akan dibuat pada 20 Ogos.
Memo tersebut memberitahu pemain berhak untuk tidak bermain pada perlawanan berikutnya jika bayaran tidak dibuat.
Sebelum ini dilaporkan tuntutan perubatan, penerbangan dan bonus perlawanan juga belum dibayar, bersama bayaran bagi musim sebelum ini. Malah bayaran sewa penginapan juga tidak dibayar dalam tempoh beberapa bulan kebelakangan ini.
Bagaimanapun, masih tidak jelas sama ada ia akan dibayar balik tepat pada waktunya.
Pada 26 Ogos lalu, TheSun melaporkan bahawa Liga Bola Sepak Malaysia (MFL) telah memotong RM100,000 daripada dana hak penyiaran Sarawak United FC untuk disalurkan kepada pemain dan pegawai yang belum dibayar gaji.
Dana itu disalurkan oleh Persatuan Pemain Bola Sepak Profesional Malaysia (PFAM), yang sebelum ini mengesahkan menerima laporan mengenai kelewatan gaji oleh pemain SUFC.
/file/publisher-c1a3f893382d2b2f8a9aa22a654d9c97/2022/09/0c4f2fa5b7fa31d3b24908f2f1869b7b.jpg)
