Kemampuan masyarakat Orang Asli menjadi atlet dalam sukan profesional berupaya mengubah taraf ekonomi mereka menjadi lebih baik sebagaimana bidang pendidikan, kata Timbalan Menteri Pembangunan Luar Bandar Datuk Seri Abdul Rahman Mohamad.

Beliau berkata bagi membantu komuniti Orang Asli maju dalam bidang sukan, Jabatan Kemajuan Orang Asli Malaysia (JAKOA) mengatur pelbagai program yang boleh mengenal pasti bakat-bakat berpotensi termasuk penganjuran Karnival Sukan Orang Asli Peringkat Kebangsaan 2022.

"Hasrat kita mengadakan karnival sukan seperti ini ialah menjadikannya satu lonjakan bagi belia dan beliawanis masyarakat Orang Asli agar terlibat secara serius dalam bidang sukan sehingga mampu mewakili negeri mahupun negara pada kejohanan berprestij.

"Kita semua menyedari keistimewaan dimiliki oleh Orang Asli terutama dari segi kudrat dan stamina.

“… satu kerugian jika tidak digilap kerana mereka berpotensi muncul sebagai atlet bertaraf dunia yang boleh mendatangkan pendapatan lumayan sebagaimana kejayaan dalam bidang akademik,".

Beliau berucap demikian pada Majlis Perasmian Karnival Orang Asli Peringkat Kebangsaan 2022 di Universiti Islam Antarabangsa Malaysia (UIAM) di Kuantan, malam tadi.

Turut hadir Pengerusi Jawatankuasa Pembangunan Luar Bandar dan Hal Ehwal Orang Asli Pahang Datuk Abd Aziz Mat Kiram dan Ketua Pengarah JKOA Sapiah Mohd Nor.

Abdul Rahman turut berharap belia Orang Asli dapat menjadi atlet kebangsaan dan mewakili negara di peringkat antarabangsa.

Sebagai contoh, katanya Norashikin Sayed, atlet sukan layar berjaya memenangi pingat perak Sukan Asia 2010 di China dan atlet kriket, pasangan adik-beradik Zumika dan Sasha Azmi yang berjaya membantu skuad kebangsaan meraih pingat gangsa acara T20 dalam Sukan SEA Kuala Lumpur 2017.

Karnival sukan selama dua hari bermula Jumaat itu disertai 535 peserta dengan empat acara dipertandingkan iaitu bola sepak, sepak takraw, bola jaring dan menyumpit.

Kontinjen Pahang muncul juara keseluruhan setelah mengungguli dua acara iaitu bola sepak dan bola jaring sementara acara sepak takraw dimenangi pasukan Perak-Kedah dan johan menyumpit milik Kelantan-Terengganu.

- Bernama