PM sampaikan tahniah buat Harimau Malaya
Ismail Sabri Yaakob mengucapkan tahniah kepada skuad Harimau Malaya yang berjaya mara ke perlawanan akhir Piala Raja Thailand selepas pasukan itu menewaskan tuan rumah 5-3 menerusi penentuan sepakan penalti malam tadi.
Perdana menteri juga berharap aksi sama dapat dipamerkan skuad kendalian Kim Pan Gon itu apabila bertemu Tajikistan pada perlawanan akhir Ahad ini.
“Ayuh Keluarga Malaysia, sama-sama kita terus memberi sokongan kepada skuad Harimau Malaya untuk menjulang Piala Raja Thai!” katanya dalam catatan di Facebook.
Pada perlawanan di Stadium 700th Anniversary of Chiang Mai, Thailand, malam tadi, La'Vere Corbin-Ong berjaya meletakkan Malaysia di hadapan, sebelum Thailand menyamakan kedudukan menerusi Pansa Hemviboon pada minit akhir 90 minit perlawanan.

Ia kemudian memaksa pemenang perlawanan ditentukan menerusi sepakan penalti.
Dijadual berlangsung di lokasi sama pada Ahad ini, skuad negara bakal berdepan Tajikistan yang menewaskan Trinidad & Tobago dalam satu lagi aksi separuh akhir.
Malaysia pernah menjulang piala berkenaan sebanyak empat kali iaitu pada tahun 1972, 1976, 1977 dan 1978.
- Bernama
/file/publisher-c1a3f893382d2b2f8a9aa22a654d9c97/2022/09/76cc806e7aa47bf1b625902541802863.jpg)
