TM jamin tidak ganggu WTM
Persatuan Tenis Kerusi Roda Malaysia (WTM) tidak perlu bimbang mengenai cadangan pindaan perlembagaan Tennis Malaysia (TM) berhubung aktiviti berkaitan sukan berkenaan.
Presidennya Mirzan Mahathir memberi jaminan, pindaan itu dilakukan bagi memastikan semua tadbir urus berkaitan aktiviti berkaitan sukan tenis di negara ini berjalan dengan lebih baik dan teratur.
Beliau berkata cadangan pindaan perlembagaan TM itu, yang sebelum ini dikenali sebagai Persatuan Lawn Tenis Malaysia kerana ia bukan mengenai tenis tradisional sahaja tetapi juga perkembangan sukan itu dalam format baharu.
“Kita ada tenis kerusi roda sudah sekian lama, malah ranking juga lebih tinggi dari kita (TM). Kita juga ada tenis lembut, tenis pantai dan yang semakin popular sekarang tenis padel.
“Kita mempunyai hubungan baik dengan ITF (Persekutuan Tenis Antarabangsa) dan ITF sedang menyalurkan geran kepada WTM melalui kita. WTM telah melaksanakan tugas dengan baik selama ini, jadi kita tidak berhasrat untuk campur tangan tugas mereka, mereka tidak perlu risau,” katanya pada sidang media.
Cadangan pindaan itu dibuat pada mesyuarat agung tahunan (AGM) TM minggu lepas oleh Persatuan Tenis Negeri Sembilan (NSLTA) dan akan dibincangkan dalam AGM tahun depan.
- Bernama
/file/1023/f4e595014ec532c24e192f65fa048292.jpg)
