Sepakan penalti dan kesilapan pemain pertahanan yang menghadiahkan gol mudah kepada JDT dilihat menjadi faktor Kedah Darul Aman (KDA) FC gagal meraih mata dalam perlawanan Liga Super di Stadium Darul Aman di Alor Setar malam tadi.

Ketua Jurulatih KDA FC, Aidil Sharin Sahak, menganggap sepakan penalti 'kontroversi' diperoleh JDT dan disempurnakan Leandro Velazquez pada minit ke-59 melemahkan moral pemain serta corak permainan mereka terutama pada babak kedua perlawanan.

"Separuh masa pertama kami bermain seperti dirancang tapi penalti di separuh masa kedua permainan telah mengubah keseluruhan perlawanan kerana ia melemahkan moral pasukan.

"Sepakan penalti itu sama ada betul atau tidak, saya tak mahu komen, tapi ia memberi kesan kepada pasukan yang sedang bertembung dengan pasukan kuat," katanya kepada pemberita selepas perlawanan yang menyaksikan KDA FC tewas 1-3 kepada JDT.

Bagaimanapun Aidil Sharin mahu semua pemainnya tidak berputus asa atau menyalahkan mana-mana pihak, sebaliknya terus berusaha memperbaiki kelemahan untuk berhadapan baki perlawanan dalam saingan Liga Super musim ini.

"Jadual perlawanan yang padat juga bukan alasan kerana segala persediaan dilakukan dan para pemain sedar lawan mereka (malam tadi) adalah pasukan besar dalam liga dan mereka bertekad memberi tentangan," katanya.

Dalam perlawanan malam tadi, KDA FC bermula baik apabila mendahului pada minit ke-12 menerusi jaringan Ronald Ngah Wanja sebelum JDT menyamakan kedudukan menerusi Bergson Da Silva pada minit ke-36.

JDT memperoleh sepakan penalti pada minit ke-59 selepas Syafiq Ahmad dijatuhkan di dalam kotak penalti. Ia disempurnakan Velazquez sebelum Mohd Afiq Fazail menambah gol ketiga pasukan pelawat pada minit ke-78 sekali gus meleburkan impian KDA FC untuk memperoleh sebarang mata dalam perlawanan itu.

- Bernama