Pemain snuker negara disaran sertai program latihan MSN - Jefri
Pemain snuker negara disaran menyertai program latihan sepenuh masa kendalian Majlis Sukan Negara (MSN) bagi memastikan mereka layak menikmati elaun latihan ditawarkan.
Pengarah Bahagian Atlet MSN Jefri Ngadirin mengakui pernah menawarkan tempat kepada pemain snuker ke dalam program tersebut, namun mereka tidak dapat menyertainya susulan komitmen di tempat kerja.
“Masalahnya mereka ini bekerja, ada majikan, ada yang miliki perniagaan sendiri. Jadi mereka tak dapat penuhi syarat program sepenuh masa di sini (MSN), itu isu utama dihadapi sukan snuker dan biliard ini,” katanya kepada pemberita selepas Perhimpunan Atlet Fasa 1 Sukan SEA Kemboja 2023 di sini hari ini.
Walaupun pemain snuker tidak menjalani program bersama MSN, Jefri berkata pihaknya tidak pernah meminggirkan sukan berkenaan dengan memberikan peruntukan diperlukan sejak tahun 2017 termasuk tiga edisi Sukan SEA serta Kejohanan Snuker Amatur Dunia 2022 di Antalya, Turkiye.
Jumaat lepas, Lim Kok Leong mencipta sejarah muncul pemain snuker pertama negara menjuarai Kejohanan Snuker Amatur Dunia selepas mengetepikan cabaran juara snuker Asia Amir Sarkhosh dari Iran 5-0 (68-63, 67-42, 78-0, 80-7, 73-54).
Dalam pada itu, beliau berkata Kok Leong layak menerima Skim Hadiah Kemenangan Sukan (SHAKAM) susulan kejayaannya mengharumkan nama negara di Turkiye.
Katanya Kok Leong juga layak berkongsi SHAKAM bersama pasangan Moh Keen Ho yang meraih gelaran dalam Kejohanan Snuker Berpasukan Lelaki Dunia di sini, bulan lepas.
Jefri pada masa sama berkata MSN telah memasukkan cadangan memberikan peruntukan kepada Persekutuan Snuker dan Biliard Malaysia (MBSF) yang diperlukan Kok Leong selepas atlet berusia 27 tahun itu menyatakan hasrat menyertai lebih banyak pertandingan pada tahun depan.
- Bernama
/file/publisher-c1a3f893382d2b2f8a9aa22a654d9c97/2022/11/66f0df9089ddb2c055c3e1415bbfc6b0.jpg)
