Piala Mirnawan 2022: Wan Mohd Roslan tidak mahu SSTMI leka
Jurulatih hoki pasukan Sekolah Sukan Tunku Mahkota Ismail (SSTMI) Lelaki, Wan Mohd Roslan Wan Abdul Rahman tidak mahu anak buahnya leka selepas melakar dua kemenangan peringkat kumpulan Kejohanan Hoki Piala Mirnawan 2022, baru-baru ini.
Biarpun di atas kertas pasukan itu sudah melayakkan diri ke peringkat separuh akhir, beliau mengakui kemampuan anak buahnya masih belum diuji sepenuhnya dalam kejohanan antarabangsa itu.
“Jika diikutkan kita sudah mara ke peringkat separuh akhir namun saya tidak mahu mereka berasa selesa dengan keputusan dilakar. Biarpun menang sebelum ini, apa yang saya dapat lihat sepanjang pertandingan ini mereka dilihat sukar mengawal tekanan.
Saya mengharapkan masalah itu dapat ditangani bermula pada aksi akhir kumpulan esok menentang Sekolah Sukan Malaysia Sabah,” katanya kepada Bernama pada majlis makan malam sempena kejohanan itu di Kuala Lumpur, malam tadi.
Wan Mohd Roslan dalam masa sama mengharapkan corak permainan lebih pantas dapat diterapkan bagi memberi saingan kepada pasukan lain dalam mengharungi saingan peringkat seterusnya.
“Kita juga belum beraksi dengan keupayaan skuad penuh selepas dua pemain utama kini berada di Perth, Australia bersama Majlis Sukan Sekolah-Sekolah Malaysia (MSSM).
"Pemain itu ialah Muhammad Nabil Irfan Mohd Yusof dan Muhammad Adam Ashraf Mohd Johari. Mereka bagaimanapun akan kembali bermula esok jadi saya mahu melihat keupayaan pasukan dapat dipamerkan sepenuhnya,” katanya.
Pasukan bimbingan Wan Mohd Roslan sebelum ini mencatatkan dua kemenangan selepas menewaskan wakil India, Sports Odisha 3-0 pada perlawanan pertama sebelum membelasah MSN Perak 5-1 dalam perlawanan kedua.
Piala Mirnawan iaitu kejohanan antarabangsa Program Pembangunan Hoki Negara (NHDP) bermula pada 26 Nov hingga 3 Dis ini.
Kejohanan berlangsung di Stadium Hoki Nasional Bukit Jalil itu melibatkan lapan pasukan bersaing untuk lelaki bawah 17 tahun manakala tujuh pasukan bagi saingan perempuan bawah 14 tahun.
- Bernama
/file/937/e09893fae1b2ad71294f80f3872eeaf0.jpg)
