Paling Popular
Terkini
mk-logo
Sukan
Seni mempertahankan diri Kemboja dimasukkan dalam senarai warisan budaya UNESCO
Diterbitkan:  Nov 30, 2022 5:13 PM
Dikemaskini: 9:16 AM

Kun Lbokator, seni mempertahankan diri tradisional Kemboja, telah dimasukan dalam senarai perwakilan UNESCO bagi warisan budaya kemanusiaan tidak ketara, menurut kenyataan akhbar Kementerian Kebudayaan dan Seni Halus Kemboja yang dikeluarkan lewat Selasa.

Keputusan itu dibuat pada Selasa semasa sesi ke-17 Jawatankuasa Antara Kerajaan bagi Melindungi Warisan Budaya Tidak Ketara di Rabat, Maghribi, kata kenyataan itu.

"Ini adalah satu kejayaan besar dan sumber baharu kebanggaan negara, lahir daripada komitmen tinggi dan usaha kuat yang dilakukan oleh kerajaan di bawah kepimpinan bijak Perdana Menteri Kemboja Samdech Techo Hun Sen yang sentiasa melindungi dan mempromosi nilai budaya warisan negara,” katanya.

Menurut siaran berita di laman web UNESCO, Kun Lbokator dimasukan dalam senarai perwakilan Warisan Budaya Tidak Ketara Kemanusiaan, lapor Xinhua.

Kun Lbokator merupakan seni mempertahankan diri sejak abad pertama yang bertujuan untuk membangunkan kekuatan mental dan fizikal serta disiplin pengamalnya melalui teknik mempertahan diri dan falsafah tanpa kekerasan, kata siaran berita itu.

Latihan Kun Lbokator bukan sahaja mengenai teknik dan kemahiran fizikal, bahkan mengenai disiplin mental tentang cara menghormati alam semula jadi dan berkelakuan dengan sopan dalam masyarakat, katanya.

"Guru, yang sesetengahnya dipercayai mempunyai kuasa penyembuhan dan perlindungan, memberi ceramah kepada perantis mereka tentang peranan dan tanggungjawab dalam masyarakat supaya apabila mereka telah menguasai kemahiran yang diperlukan, mereka dapat melindungi komuniti yang terdedah dan persekitaran semula jadi dan membela keadilan dan keamanan," kata siaran berita itu.

Kun Lbokator masih aktif dipertontonkan sebagai sebahagian daripada persembahan ritual kepada dewa tempatan dan dalam acara perayaan lain, bersama unsur-unsur seperti tarian, muzik dan perubatan tradisional, katanya.

Penjelmaan nilai sosial, budaya dan agama negara, Kun Lbokator diamalkan secara meluas dalam kalangan rakyat Kemboja, tanpa mengira umur, jantina dan latar belakang atau status pendidikan mereka, kata siaran berita itu.

Sehingga kini, negara Asia Tenggara itu mempunyai tiga harta budaya ketara dan enam warisan budaya tidak ketara yang dimasukan dalam senarai warisan dunia UNESCO yang berprestij.

Harta budaya ketara yang disenaraikan termasuk Taman Arkeologi Angkor, Kuil Preah Vihear dan Tapak Arkeologi Sambor Prei Kuk, manakala warisan budaya tidak ketara yang disenaraikan adalah Balet Diraja, Sbek Thom atau Boneka Bayangan Khmer; permainan tarik tali, Chapei Dang Veng, kecapi berleher panjang dan bertali dua, Lkhon Khol Wat Svay Andet, sebuah teater tarian bertopeng, dan Kun Lbokator.

- Bernama


Sertai saluran WhatsApp Malaysiakini BM sekarang untuk mendapatkan perkembangan berita terkini!

Lihat Komen
ADS