Paling Popular
Terkini
mk-logo
Sukan
Juara dunia silat Al-Jufferi masih belum temui pengganti
Diterbitkan:  Dec 17, 2022 1:23 PM
Dikemaskini: 5:23 AM

Juara dunia empat kali Mohd Al-Jufferi Jamari berpandangan masih belum ada atlet pelapis silat yang berupaya menggantikan kedudukannya setakat ini.

Beliau yang sudah bersara daripada dunia persilatan profesional berkata agak sukar untuk mencari atlet pelapis yang mempunyai semangat dan mempamerkan aksi konsisten serta mampu mempertahankan sesuatu kejuaraan.

Jaguh silat kelahiran Pahang itu berkata setiap atlet perlu mempunyai sikap sentiasa ‘dahagakan’ kejayaan untuk membawa mereka ke peringkat lebih jauh dan bukan sekadar menang pada satu-satu kejuaraan sahaja.

“Dari segi untuk menggantikan tempat saya, kalau tanya saya, masih belum ada lagi, kerana kalau hendak menang, semua atlet boleh menang, tetapi untuk mempertahankan kejuaraan itu susah,” katanya ketika ditemui di Kejuaraan Pencak Silat Enam Penjuru di Kompleks Sukan Educity di Iskandar Puteri, Johor.

Mohd Al-Jufferi yang turut melahirkan kekesalan kerana tidak sempat untuk melahirkan pelapis berkata atlet silat perlu menempuh fasa bersusah-susah dahulu supaya mendapat kesenangan dan berjaya di penghujungnya, sebagaimana yang diharunginya selama 15 tahun dalam arena persilatan.

“Zaman sekarang bukan seperti zaman saya dahulu, dahulu cara hendak berjaya kena usaha sendiri, sebab dahulu kita belajar dari susah dan senang kemudian.

“Saya berlatih empat tahun, tidak pergi mana-mana pertandingan hanya untuk menjadi seorang juara yang terus berkekalan. Selama empat tahun berlatih dan 15 tahun dalam dunia silat untuk wakili negara, jadi jumlah 19 tahun saya buat persediaan yang sangat panjang,” katanya.

Sementara itu, Mohd Al-Jufferi berkata selain sibuk dalam bidang lakonan setelah bersara, beliau ketika ini turut menjalankan projek bagi menghasilkan pelindung badan elektronik (electronic body protector) yang mempunyai penderia bagi sukan silat dengan kerjasama Persekutuan Silat Melayu the Netherlands.

Beliau berkata usaha itu diharapkan dapat memudahkan pengadilan pertandingan silat memandangkan penilaian mata selama ini diberikan oleh juri atau pengadil.

“Sukan silat ini sangat subjektif dan sensitif dari segi pengadilan, jadi saya rasa perlu ada pelindung badan yang mana jika atlet itu melakukan tendangan, mata akan dikira sendiri (menerusi sistem) sebab pelindung badan ada sensor,” katanya.

Beliau berkata pelindung badan elektronik itu setakat ini belum pernah dihasilkan bagi sukan silat dan berharap agar projek tersebut berjaya.

- Bernama


Sertai saluran WhatsApp Malaysiakini BM sekarang untuk mendapatkan perkembangan berita terkini!

Lihat Komen
ADS