Pesan Mat Yo: Raih sebanyak mungkin gol malam ini
Skuad Harimau Malaya perlu memburu sebanyak mungkin gol pada separuh akhir pertama Piala AFF menentang Thailand di Stadium Nasional Bukit Jalil malam ini untuk dijadikan bekalan selesa sebelum aksi timbal balik di Bangkok pada Selasa depan.
Penyerang berpengalaman Norshahrul Idlan Talaha berkata dengan meraih gol yang banyak di Bukit Jalil skuad kebangsaan memiliki kelebihan kerana bukan mudah beraksi di Stadium Thammasat.
“Sebab saya tahu majoriti pemain skuad Thailand itu mempunyai pengalaman cukup luas, liga Thailand juga kedudukannya lebih baik daripada kita, jadi saya nasihatkan pemain kita cari gol awal dan bekalan semampu yang boleh untuk ke Bangkok,” katanya yang lebih terkenal dengan panggilan Mat Yo.
Dia ditemui pemberita selepas majlis pelancaran Al-Ikhsan Sports x The MESSI Brand di Sunway Pyramid semalam.
Dalam pada itu, Norshahrul optimis dengan perancangan ketua jurulatih Kim Pan-gon yang disifatkan penuh taktikal serta berkualiti justeru mampu membawa skuad kebangsaan sehingga ke perlawanan akhir piala berprestij itu.
Katanya skuad kebangsaan perlu terus berdisplin dan mengekalkan momentum sedia ada ketika beraksi pada perlawanan malam ini.
- Bernama
/file/publisher-c1a3f893382d2b2f8a9aa22a654d9c97/2020/06/c3015fd6cb41f247f5401d6f42404ebd.jpg)
