Siasatan berhubung isu seorang pelajar yang didakwa diajak memeluk Islam jika mahu berpeluang besar menyertai pasukan bola sepak kebangsaan kini di peringat akhir.

Menjelaskan perkembangan kes itu kepada Malaysiakini, Ketua Polis Daerah Cheras ACP Zam Halim Jamaluddin berkata pihak berkuasa akan mengambil langkah sewajarnya selepas ini.

"Siasatan untuk kes ini telah sampai ke peringkat akhir.

"Dijangka lusa kertas siasatan akan diedarkan untuk rujukan kepada timbalan pendakwa raya," katanya hari ini.

Selepas itu, kata Zam Halim, polis akan menunggu arahan lanjut daripada Jabatan Peguam Negara.

Zam Halim berkata demikian ketika ditanya Malaysiakini mengenai status terkini siasatan seorang guru didakwa menggalakkan pelajar tingkatan tiga untuk memeluk Islam.

Guru terbabit didakwa membuat ajakan tersebut dengan alasan ia akan meningkatkan peluang pelajar berkenaan untuk menjadi pemain bola sepak kebangsaan.

Kejadian didakwa berlaku di sebuah sekolah di Kuala Lumpur.

Ibu pelajar terbabit - yang hanya mahu dikenali sebagai Vasan - mendakwa rakan anaknya juga memaklumkan hanya orang Islam dibenarkan memasuki stadium di negara ini.

Ibu bapa pelajar berkenaan telah membuat laporan polis berhubung perkara itu dan pihak polis mengesahkan kertas siasatan dibuka.

Kes tersebut disiasat mengikut Seksyen 298A Kanun Keseksaan iaitu menyebabkan suasana tidak harmoni atas alasan-alasan agama dan awam serta Seksyen 505(b) Kanun Keseksaan iaitu menyebabkan ketakutan atau kegentaran kepada awam.