Skuad badminton Piala Sudirman negara akan memanaskan badan buat kali terakhir menjelang saingan kejohanan itu apabila dijadualkan berentap dalam saingan Piala Presiden di Stadium Juara, Bukit Kiara, pada Ahad (7 Mei) ini.

Persatuan Badminton Malaysia (BAM) dalam kenyataan hari ini memaklumkan kejohanan simulasi buat barisan atlet badminton negara yang menggalas cabaran Piala Sudirman di Suzhou, China pada 14 hingga 21 Mei itu, kali ini boleh disaksikan depan mata oleh peminat sukan badminton tanah air.

Piala Presiden kali terakhir dianjurkan pada 2020 sebagai persiapan pemain negara ke Kejohanan Piala Thomas dan Uber yang berlangsung tanpa kehadiran penonton serta disiarkan secara langsung menerusi televisyen swasta.

“Hasil daripada penganjuran Piala Presiden pada 2020, para pemain negara mendapat manfaat besar terutama sekali buat atlet yang menyertai Piala Thomas dan Uber buat kali pertama,” menurut kenyataan itu.

Kenyataan itu memaklumkan berdasarkan penganjuran edisi lepas, Akademi Badminton Malaysia dan barisan kejurulatihan membuat keputusan bagi menganjurkan semula kejohanan Piala Presiden yang menggunakan format pertandingan 20 pemain dibahagikan kepada dua pasukan seimbang.

Pada saingan Piala Sudirman nanti, negara diundi dalam Kumpulan C bersama Taiwan, India dan Australia, dengan Malaysia perlu menamatkan saingan peringkat kumpulan di kedudukan pertama atau kedua untuk mara ke saingan suku akhir.

Skuad negara tidak pernah merangkul kejuaraan sepanjang pembabitan dalam kejohanan itu yang dipertandingkan sejak 1989 dengan pencapaian terbaik negara ialah beraksi di peringkat separuh akhir pada 2009 dan 2021.

- Bernama