Beregu wanita utama negara Pearly Tan- M.Thinaah menempuh rali panjang sebanyak 211 pukulan berdepan Rena Miyaura-Ayako Sakuramoto dari Jepun sebelum berjaya mengesahkan tiket ke suku akhir di kejohanan Masters Malaysia 2023 hari ini. 

Gandingan negara yang turun selaku pilihan keenam kejohanan menyajikan aksi penuh mendebarkan di Axiata Arena apabila menang set pertama 21-18, namun pasangan Jepun yang juga juara Masters Orleans 2023 menang set kedua 8-21 mengheret ke set penentuan. 

Aksi sengit turut berlaku pada set ketiga apabila pada satu ketika kedua-dua pasangan Pearly-Thinaah saling berbalas pukulan dengan pasangan Jepun itu sewaktu mendahului 16-14 sebelum rali panjang tersebut berpihak kepada mereka untuk mengutip mata ke-17 dan seterusnya mematikan usaha lawan mereka untuk ke suku akhir dengan kemenangan 21-19.

Pearly ketika ditemui pemberita memaklumkan meskipun menempuh perlawanan yang sengit namun ia membuahkan hasil apatah lagi mampu membolot mata pada aksi rali panjang terbabit. 

“Saya tidak fikir untuk lakukan pukulan, ia adalah rali yang panjang dan saya tahu mereka sudah bersedia, jadi kami juga telah bersedia. Kami sedar kami letih tetapi lawan juga letih, dalam fikiran, kami hanya mahu memenangi rali itu jadi kami bersedia dari segi mental dengan baik dan saya sangat gembira kami memenangi mata itu,” katanya.

- Bernama