Yaman batalkan perlawanan, M’sia akan berdepan Papua New Guinea
Persatuan Bolasepak Malaysia (FAM) hari ini mengumumkan perlawanan antarabangsa Tier 1 antara Malaysia dan Yaman di Stadium Sultan Mizan Zainal Abidin di Kuala Nerus, Terengganu pada 20 Jun ini terpaksa dibatalkan.
Ia berikutan Persatuan Bolasepak Yaman (YFA) pada saat akhir semalam menyatakan hasrat membatalkan perlawanan tersebut atas alasan ketiadaan pemain utama kerana menyertai skuad Bawah 23 tahun (B-23) negara itu yang akan beraksi dalam kejohanan di Iraq.
Bagaimanapun, skuad Harimau Malaya bimbingan Kim Pan Gon akan menentang Papua New Guinea yang bersetuju untuk mengisi kekosongan ditinggalkan Yaman pada tarikh berkenaan.
“Pembatalan saat akhir daripada pihak YFA sekali gus memaksa FAM perlu segera mencari pasukan pengganti sesuai dalam masa yang agak suntuk dengan pilihan terhad memandangkan kebanyakan pasukan lain sudah mempunyai lawan masing-masing pada kalendar FIFA kali ini.
“Selepas menghubungi beberapa pasukan, FAM akhirnya berjaya mendapat persetujuan Papua New Guinea sebagai pasukan pengganti,” kata Setiausaha Agung FAM Noor Azman Rahman dalam hantaran Facebook rasmi badan induk itu, hari ini.
Pada jendela perlawanan antarabangsa Persekutuan Bolasepak Antarabangsa (FIFA) dari 12 hingga 20 Jun ini, selain menentang Papua New Guinea, skuad Pan Gon dijadual bertemu Kepulauan Solomon juga di Stadium Sultan Mizan Zainal Abidin pada 14 Jun.
Sebagai rekod, Kepulauan Solomon dan Papua New Guinea masing-masing pasukan di ranking ke-134 dan 159 dunia sementara Malaysia di posisi ke-138.
Dua perlawanan itu merupakan kesinambungan fasa persediaan pasukan negara menghadapi Piala Asia 2023 di Qatar, Januari tahun depan selepas meraih dua kemenangan masing-masing ke atas Turkmenistan 1-0 dan Hong Kong 2-0 pada aksi antarabangsa Tier 1 di Johor, Mac lepas.
Selain itu, Pan Gon turut mempunyai tugas membimbing pasukan dalam pusingan kelayakan Piala Dunia 2026/Piala Asia 2027 yang dijadual bermula November ini.
- Bernama
/file/publisher-c1a3f893382d2b2f8a9aa22a654d9c97/2023/05/456321562823055ae251a74cd0080b91.jpg)
