Kecederaan, dipercayai di siku kanan, memaksa pemain beregu wanita negara Pearly Tan mengakhiri perjuangan bersama pasangannya M Thinaah, setakat pusingan pertama Kejohanan Badminton Terbuka Singapura 2023 hari ini.
Beregu utama wanita negara itu bermula baik ketika berdepan wakil Jepun, Rin Iwanaga-Kie Nakanishi sebelum kehilangan momentum susulan kecederaan dialami Pearly sehingga mereka tewas di set pertama 13-21 pada perlawanan di Stadium Tertutup Singapura.
Bagaimanapun, Juara Sukan Komanwel Birmingham 2022 itu tidak memberikan laluan mudah dan bangkit dengan kemenangan di set kedua 21-17.
Selepas ketinggalan 9-16 di set penentuan, Pearly mengambil keputusan menarik diri sekali gus menyaksikan beregu Jepun di ranking ke-23 dunia itu mara ke pusingan kedua.
Dalam pada itu, beregu lelaki negara Ong Yew Sin-Teo Ee Yii menepati ramalan apabila mara ke pusingan seterusnya selepas menundukkan Christo Popov-Toma Junior Popov dari Perancis.
Yew Sin-Ee Yii yang juga merupakan pilihan kelapan kejohanan melakar kemenangan 21-18, 21-13 selepas pertarungan 31 minit.
- Bernama
