Pasukan berbasikal bertaraf benua, Terengganu Polygon Cycling Team (TSG) menyasarkan dua podium pada Tour of Iran, 26 Ogos ini.

Ketua Pegawai Operasinya, Nasiruddin Wan Idrus berkata sasaran itu berdasarkan prestasi cemerlang TSG dalam kejohanan tersebut sebelum ini.

Beliau berkata enam pelumba akan menggalas cabaran tersebut bagi mengumpul sekurang-kurangnya 70 mata untuk memastikan TSG terus menguasai kedudukan teratas Asia dan terbaik benua.

"Kita ada dua kejohanan di Iran iaitu Tour of Kandovan yang bertaraf 1.2 Kesatuan Berbasikal Antarabangsa (UCL) dan Tour of Iran Azarbaijan bertaraf 2.1 UCL yang bermula dari 26 hingga 31 Ogos.

"Enam pelumba yang bakal membarisi perlumbaan ialah Jambaljamts Sainbayar, Metkel Eyob, Nur Aiman Mohd Zarriff, Nur Amirul Fakhruddin Mazuki, Youcef Reguigui dan Anatolli Budiak," katanya kepada Bernama.            

- Bernama