ASIAD: Sekurang-kurangnya perak sudah dalam genggaman skuad e-sukan
Pasukan Arena of Valor negara bakal mencipta sejarah sebagai pemenang pingat pertama Malaysia bagi esukan di pentas Sukan Asia.
Dengan sukan elektronik (esukan) buat kali pertama dipertandingkan sebagai acara berpingat di Sukan Asia, pasukan negara berjaya melangkah ke final selepas menewaskan Vietnam 2-0 pada aksi separuh akhir di Pusat Esukan Hangzhou di Hangzhou.
Pasukan yang dibarisi oleh Lai Chia Chien, Nicholas Ng Khai Shuan, Ong Jun Yang, Eng Jun Hao, Yong Zhan Quan dan Chong Han Hui berjaya mengatasi lawan yang terdiri daripada Nguyen Thi Phuong Yen, Nguyen Sy Tuan Linh, Nguyen Ngoc Anh, Nguyen Duc Viet, Dang Huynh Truong dan Huynh Phuong Ngan.
Pada final yang bakal berlangsung esok, Malaysia bakal bertemu pemenang aksi separuh akhir di antara China dan Thailand.
Jurulatih skuad negara Low Jia Cheng berkata, skuad negara telah beraksi dengan cemerlang untuk mengatasi Vietnam yang mempamerkan aksi baik hari ini.
"Kita akan berikan segalanya pada aksi esok dalam memburu pingat emas walaupun dah sahkan pingat. Semuanya berjalan dengan baik, harap kejayaan menjadi milik kita esok, walaupun jika perlu bertemu pasukan tuan rumah yang lebih kuat daripada kita," katanya selepas aksi berkenaan.
Menteri Belia dan Sukan Hannah Yeoh yang hadir memberikan sokongan, memuji prestasi pasukan negara yang mampu mengatasi tekanan untuk meneruskan kemaraan sehingga final.
“Kejayaan yang cemerlang daripada pasukan kita. Saya saya berharap kejayaan mereka menjadi teladan kepada atlet Malaysia lain yang mahu menjadi yang terbaik in Asia,” katanya.
Esukan diadakan sebagai sukan demonstrasi pada Sukan Asia Jakarta-Palembang 2018.
- Bernama
/file/851/a023556a51a1618a64e844c6d44705be.jpg)
