Paling Popular
Terkini
mk-logo
Sukan
Piala Agong: Pendekatan baru Samuel Rupert diyakini mampu tamatkan penantian PDRM
Diterbitkan:  Sep 27, 2023 2:19 PM
Dikemaskini: 6:19 AM

Pendekatan baharu diterapkan jurulatih berpengalaman Samuel Rupert Firth Jackson diyakini mampu menamatkan penantian 32 tahun pasukan ragbi Polis Diraja Malaysia (PDRM) menjulang trofi Piala Agong 2023.

Keyakinan itu disuarakan Mohammad Fazrin Noor Zaid selepas pengendali berusia 30 tahun dari Amerika Syarikat (AS) itu ‘berani’ mengubah corak permainan pasukan sebaik sahaja menyandang jawatan berkenaan bulan lepas. 

Pemain posisiscrum-half berusia 30 tahun itu berkata kelebihan dimiliki setiap pemain selain mempelbagaikan taktikal sentiasa diberikan penekanan ketika latihan bagi menyukarkan pihak lawan menduga gerak langkah mereka. 

“Susah nak terangkan secara terperinci, tetapi saya akui keputusan membawa masuk jurulatih baharu ini membawa perubahan (positif) yang ketara sebab cara latihan dan menguruskan pasukan memang kena dengan jiwa setiap pemain.

“...mungkin kerana Samuel Rupert ada pengalaman bermain di liga Amerika Syarikat. Namun saya akui pada mulanya agak sukar apabila lenggok bahasa Inggeris yang digunakan berbeza dengan kita di Malaysia,” katanya ketika ditemui baru-baru ini.

Mohammad Fazrin yang menyertai pasukan PDRM sejak edisi 2014 berharap semua perancangan dilakukan barisan kejurulatihan berjalan lancar tanpa sebarang halangan untuk diterjemahkan semasa perlawanan pertama menentang Pahang, Sabtu ini. 

Turut senada dengannya ialah bintang ragbi negara, K. Dinesvaran yang kembali memperkuatkan pasukan PDRM selepas 15 tahun teruja untuk menampilkan ‘taring sebenar’ menggunakan kelebihan yang ada pada dirinya. 

Lebih dikenali dengan panggilan ‘Duke’, pemain berusia 35 tahun itu pernah beraksi bersama pasukan Hino Red Dolphins dalam Liga Teratas Jepun dan kini bermain bagi kelab ragbi Chicago Hounds dalam liga di Amerika Syarikat sejak awal tahun ini. 

Anak kelahiran Kedah yang bermain di posisilockitu merasakan ‘mentaliti juara’ yang ditanam Samuel Rupert pastinya membantu pasukan menampilkan segala kemahiran permainan dengan menganggap setiap perlawanan sebagai perlawanan terakhir. 

Dalam pada itu, Samuel Rupert yang pernah membimbing skuad ragbi negara ke Kejohanan Ragbi Asia di Incheon, Korea Selatan tahun lepas, merasakan ini peluang terbaik PDRM merampas kembali piala berkenaan apabila menyifatkan barisan pemain sedia ada mampu mencipta kejayaan yang positif.

“Perkara utama bagi kami ialah memastikan semua orang memainkan berperanan menepati dengan kedinamikan pasukan supaya kami boleh beraksi di atas padang,” katanya. 

Pasukan PDRM diundi dalam Kumpulan B bersama Angkatan Tentera Malaysia (ATM) dan Pahang. 

Pada edisi tahun lepas, skuad PDRM menamatkan saingan di tempat ketiga. Kali terakhir PDRM menjuarai Piala Agong ialah pada edisi 1991.

- Bernama


Sertai saluran WhatsApp Malaysiakini BM sekarang untuk mendapatkan perkembangan berita terkini!

Lihat Komen
ADS