Hormat Harimau Malaya, kami akan lawan habis-habisan - Bahrain
Bahrain berjanji akan memberikan persembahan terbaik menentang Malaysia dalam perlawanan penting mengumpul mata pertama masing-masing untuk lolos ke pusingan 16 terbaik Piala Asia di Qatar.
Jurulatih pasukan Timur Tengah itu Juan Antonio Pizzi berkata setelah menganalisis dua perlawanan terakhir Harimau Malaya dia percaya laluan mereka tidak mudah, walaupun berada di ranking jauh lebih tinggi.
“Kami hormat semua lawan kami dan akan berikan yang terbaik untuk kalahkan Malaysia,” katanya yang tidak mahu mendedahkan banyak perkara menjelang perlawanan pada jam 10.30 malam esok.

Dua perlawanan rujukan mereka itu ialah persahabatan tertutup dengan Syria yang menyaksikan keputusan seri 2-2 serta pertemuan dengan Jordan yang menyaksikan Malaysia dibelasah 4-0.
Seperti Malaysia, Bahrain juga amat memerlukan kemenangan setelah kalah 3-1 pada Korea Selatan, gergasi Asia di ranking ke-23 dunia.
Sementara itu, Pizzi juga mempertahankan kritikan terhadap pemain tengahnya yang didakwa tenggelam ketika bertemu Korea Selatan sebelum ini.
“Pemain tengah kami bermain dengan baik ketika lawan Korea.
“Ia masih bahagian kami yang terkuat,” katanya seperti dilaporkan New Straits Times.
/file/publisher-c1a3f893382d2b2f8a9aa22a654d9c97/2022/06/c0164f7173b0747f5dc494ffdf4501a3.jpg)
