Ketua jurulatih Sabah FC Datuk Ong Kim Swee menyifatkan kekurangan kecergasan pemainnya sebagai salah satu punca mereka tewas 3-0 kepada kelab Australia Macarthur FC pada separuh akhir Zon Asean pada perlawanan akhir di Stadium Sukan Campbelltown di Sydney hari ini.

Dia dipetik Bernama berkata pemainnya juga melakukan kesilapan yang menyebabkan Macarthur FC menyumbat gol.

"Kami cuba (bangkit) kembali tetapi ia tidak mudah.

"Kami hilang tumpuan... Macarthur mempunyai kualiti yang lebih baik," katanya pada sidang media selepas perlawanan di Sydney hari ini.

Kekurangan kecergasan itu dikaitkan sesetengah pihak berpunca daripada 'rehat' dua bulan susulan tiada perlawanan penuh persaingan selepas Liga Malaysia (Liga M) berakhir pada Disember tahun lalu.

Bagaimanapun, Kim Swee dipetik Bernama berkata di sebalik penyingkiran mereka, saingan itu terbukti amat berguna dalam meningkatkan prestasi Sabah, lebih-lebih lagi Liga Super akan bermula tidak lama lagi.

“Perlawanan ini berguna sebagai pengalaman untuk meningkatkan keyakinan pemain dan pasukan (agar) kami terus mara ke hadapan,” katanya.

Sabah mara ke separuh akhir Zon Asean selepas muncul juara Kumpulan H dengan 12 mata manakala Macarthur juara Kumpulan F dengan 18 mata.