Gol cantik pemain sayap negara, Faisal Halim dinobat gol terbaik Piala Asia Qatar 2023 selepas jauh mendahului pesaing lain apabila undian ditutup pada awal pagi Isnin.

Terdahulu, Konfederasi Bola Sepak Asia (AFC) menyenaraikan jaringan penyamaan Faisal ketika menentang Korea Selatan pada perlawanan terakhir Kumpulan E di Stadium AlJanoub bersama tujuh lagi gol untuk diundi sebagai gol terbaik kejohanan bola sepak tertinggi Asia itu.

Faisal memperolehi undian sebanyak 85 peratus menewaskan jaringan pemain Jordan, Mousa Al Tamari yang mengumpul hanya sembilan peratus undian, pemain sensasi Korea Selatan, Son Heung-min (tiga peratus), Supachok Sarachat dari Thailand (satu peratus) dan Sardar Azmoun dari Iran (satu peratus).

Tiga gol lagi daripada pemain Jepun, Keito Nakamura, Hassan Al Haydous (Qatar) dan Abdulrahman Ghareeb (Arab Saudi) tidak menerima sebarang undian.

Kejohanan edisi ke-18 itu merekodkan keseluruhan 132 gol daripada 51 perlawanan.

Faisal mencipta sensasi selepas memperdayakan penjaga gol Korea dan dua pemain pertahanan yang salah satunya beraksi bersama Bayern Munich, Kim Min-jae sebelum menjaringkan gol menarik ke penjuru gawang.

Pada perlawanan tersebut, Malaysia berjaya mengikat gergasi Asia itu 3-3 dengan dua lagi gol negara di jaringkan Arif Aiman Hanapi dan Romel Morales.

AFC sebelum ini turut menilai gol daripada Faisal itu sebagai satu keajaiban yang berlaku di pentas Piala Asia.