Seorang atlet silat yang mewakili Terengganu pada temasya Sukan Malaysia (Sukma) Wan Muhammad Haikal Wan Hussin dilaporkan meninggal dunia selepas rebah dalam sebuah pertandingan di Seremban, Negeri Sembilan semalam.
Harian Metro melaporkan atlet berusia 21 tahun itu tidak sedarkan diri selepas terkena tendangan lawan dan disahkan meninggal dunia pada 1.20 pagi tadi ketika dirawat di Hospital Tuanku Jaafar (HTJ).
Kakak sulung Allahyarham, Wan Nor Haslinda berkata keluarga diberitahu mengenai kejadian itu pada 5.30 petang semalam.
"Jurulatih hubungi bapa dan maklumkan yang arwah terpaksa dikejarkan ke hospital kerana tidak sedarkan diri selepas terkena tendangan pihak lawan.
"Tapi saya tidak tahu lebih lanjut bagaimana kejadian itu berlaku dan kira-kira 2.30 pagi, kami dimaklumkan yang dia sudah meninggal dunia. Waktu tepatnya saya tak pasti," katanya seperti dipetik laporan itu.
Menurut Wan Nor Haslinda, adiknya itu adalah anak keempat dari lima beradik dan berada di Seremban untuk Pra Sukma sejak Jumaat lalu.
Dia berkata pihak keluarga kini berada di HTJ untuk menunggu bedah siasat selesai dan urusan menuntut jenazah.
