Kurang tenang antara punca regu negara kempunan
Aksi kurang tenang diperagakan beregu lelaki nombor satu negara, Aaron Chia-Soh Wooi Yik merupakan antara punca mereka terlepas peluang mendakap gelaran pertama All England edisi 2024 yang berakhir di Birmingham, malam tadi.
Pengarah Kejurulatihan Akademi Badminton Malaysia Rexy Mainaky berkata dia juga melihat pergerakan Wooi Yik di dalam gelanggang seolah-olah agak 'berat’ semasa menentang pasangan Indonesia, Fajar Alfian-Muhammad Rian Ardianto, yang berjaya mempertahankan kejuaraan mereka menerusi kemenangan 16-21, 16-21, di Utilita Arena Birmingham.
Katanya ketangkasan Fajar-Muhammad Rian - yang turun selaku pilihan ketujuh - mengawal permainan di bahagian depan jaring memberi kelebihan buat lawan sekali gus memaksa Aaron-Wooi Yik berpuas hati muncul naib juara kejohanan badminton tertua dunia buat kali kedua dalam masa lima tahun.
"Sebenarnya waktu kedudukan mata 10-10 (set kedua) mereka (Aaron-Wooi Yik) sudah dapat rentak, namun tidak padu lagi.
"Mereka kerap melepaskan bola sehingga menyaksikan pasangan Indonesia dapat membina kepercayaan diri (memenangi perlawanan)," katanya ketika dihubungi Bernama.
Fajar-Muhammad Rian membawa pulang hadiah wang tunai AS$96,200 (RM452,572) manakala Aaron-Wooi Yik menerima AS$45,500 (RM214,055) selaku naib juara.
Keputusan itu bermakna gelaran All England masih sukar dicapai oleh pemenang pingat gangsa Sukan Olimpik 2020 itu selepas mereka tewas kepada bekas juara dunia tiga kali dari Indonesia Mohammad Ahsan-Hendra Setiawan 21-11, 14-21, 12-21 pada final edisi 2019.
Kali terakhir beregu lelaki negara meraih gelaran All England ialah pada 2007 menerusi Koo Kien Keat-Tan Boon Heong yang menewaskan pasangan China, Cai Yun-Fu Haifeng 21-15, 21-18.
- Bernama
/file/publisher-c1a3f893382d2b2f8a9aa22a654d9c97/2023/12/d352aa33cfadc180a877ea69758a7c29.jpg)
