TMJ sentiasa ada cara naikkan motivasi pemain, kata Natxo Insa
Pemain tengah Johor Darul Ta’zim (JDT) Natxo Insa berkata dorongan dan mentaliti kuat yang diterapkan pemilik kelab, Pemangku Sultan Johor Tunku Mahkota Ismail Sultan Ibrahim antara faktor utama pemain kelab itu sentiasa dahagakan kejayaan.
Katanya, walaupun JDT telah memenangi segala gelaran dan kejuaraan diperingkat domestik, pasukan itu sentiasa bekerja keras saban musim bagi meraih lebih banyak kejayaan.

“Dia sentiasa mendorong kami untuk menjadi lebih baik berbanding musim lalu supaya kami sentiasa mempunyai sebab untuk maju ke hadapan dan mencipta lebih banyak kejayaan buat kelab dan diri kami.
“Musim ini kami bekerja lebih keras berbanding tahun-tahun yang lalu dan sentiasa mahu menambahbaik pasukan,” katanya seperti dipetik Facebook rasmi JDT.
Jelas Insa lagi, Tunku Mahkota Ismail sentiasa mempunyai cara menaikkan semangat pemain untuk mengatasi kejayaan musim lalu dan ia menjadikan pemain sentiasa mempunyai motivasi dan matlamat untuk terus mencapai lebih banyak kejayaan.
“Kami mempunyai pemilik yang sangat tegas dan dia sentiasa mempunyai cara untuk memotivasikan kami walaupun telah memenangi segala-galanya di peringkat domestik.
Pemain kacukan Malaysia-Sepanyol itu ditemui sejurus perlawanan persahabatan antarabangsa menentang Lion City Sailors yang berkesudahan JDT menang 2-1.

Pada perlawanan tersebut, JDT yang beraksi tanpa beberapa pemain utama menjaringkan gol seawal minit ke-9 menerusi jaringan Nicolao Dumitru sebelum Romel Morales meledak gol kedua pada minit ke-23.
Gol tunggal Lion City Sailors dijaringkan Maxime Lestienne pada minit ke-37 juga pada babak pertama perlawanan persahabatan timbal balik itu.
“Ia perlawanan yang sukar kerana Lion City Sailors adalah pasukan kuat namun perlawanan ini baik untuk kedua-dua pasukan yang kini dalam kempen pra musim.
“Setiap tahun pasukan ini menjadi semakin baik dan musim ini kami bertambah baik dengan kemasukan pemain baharu. Setiap latihan juga semakin sukar tetapi kesannya dapat dilihat dalam perlawanan ini,” jelas Insa lagi.
Skuad kendalian Hector Bidoglio itu akan bertemu lawan sama pada 8 April depan di Stadium Sultan Ibrahim dalam rangka persediaan musim baru Liga Super yang dijadual bermula pertengahan Mei ini.

Dalam perkembangan lain, skuad Bawah 23 Tahun (B-23) kebangsaan tumbang 1-2 kepada China pada perlawanan persahabatan antarabangsa tertutup di Universiti Qatar, Doha, malam tadi.
Pada pertembungan itu, China memecah kebuntuan gol selepas Aifeierding Aisikaer menyempurnakan sepakan penalti pada minit ke-26 sebelum skuad Harimau Muda bimbingan Juan Torres Garrido bangkit mengikat kedudukan menerusi Fergus Tierney pada minit ke-61.
Namun pada minit ke-85, China sekali lagi dihadiahkan sepakan penalti yang disempurnakan dengan tenang oleh Aisikaer sekaligus mengesahkan kemenangan pasukannya.
Untuk rekod, ini kekalahan kedua dicatat skuad Harimau Muda dalam tiga aksi persahabatan antarabangsa bertemu skuad B-23 China sejak tahun lalu setelah menang 1-0 dan tewas 1-2 dalam pertembungan di Shanghai, Disember lepas.

Skuad Harimau Muda diundi dalam Kumpulan D bersama Uzbekistan, Vietnam dan Kuwait dalam saingan Piala Asia B-23 di Qatar dari 15 April sehingga 3 Mei ini.
Malaysia yang menyasarkan untuk layak sekurang-kurangnya ke suku akhir akan bertemu Qatar sebagai aksi pemanas badan terakhir, Ahad ini.
/file/publisher-c1a3f893382d2b2f8a9aa22a654d9c97/2024/04/8e47a2e34a7542e4a3e1d9decba4f3c4.jpg)
