Paling Popular
Terkini
mk-logo
Sukan
Ronaldo terima kad merah kerana siku pemain lawan
Diterbitkan:  Apr 9, 2024 1:58 PM
Dikemaskini: 5:58 AM

Kapten Al-Nassr, Cristiano Ronaldo dilayangkan kad merah pada aksi separuh akhir Piala Super Saudi bertemu Al-Hilal di Abu Dhabi semalam.

Ronaldo dilayangkan kad merah empat minit sebelum tamat perlawanan selepas menyiku pemain Al-Hilal Ali Al-Bulaihi ketika pasukannya ketinggalan 0-2 pada aksi tersebut.

Insiden berlaku kira-kira pada minit ke-73 perlawanan apabila Ronaldo cuba merampas bola yang terkeluar daripada permainan tetapi dihalang Ali.

Pemegang rekod jaringan Portugal yang tampak tertekan kemudian menyiku dada Ali menyebabkan pengadil melayangkan kad merah kepadanya.

Pada aksi tersebut Al-Hilal berada di depan apabila Jorge Jesus membuka tirai jaringan pada minit ke-62 selepas satu serangan pantas yang dilakukan Sergej Milinkovic-Savic.

Penyerang Brazil, Malcolm menjaringkan gol kedua Al-Hilal pada minit ke-72 menerusi tandukan selepas menerima hantaran silang Michael.

Gol saguhati Al-Nassr dijaringkan bekas pemain Liverpool Sadio Mane pada masa kecederaan.

Perlawanan berkesudahan dengan Al-Hilal mengatasi Al-Nassr 2-1.

Al-Hilal dalam misi memburu kejuaraan keempat berturut-turut pada perlawanan akhir Khamis ini berhadapan dengan Al-Ittihad yang diketuai bekas pemain Real Madrid Karim Benzema, yang menewaskan Al-Wehda 2-1 dalam satu lagi aksi separuh akhir semalam.


Sertai saluran WhatsApp Malaysiakini BM sekarang untuk mendapatkan perkembangan berita terkini!

Lihat Komen
ADS