Harimau Muda berputih mata, pulang tangan kosong
Skuad Bawah 23 tahun (B-23) negara berputih mata apabila pulang dengan tangan kosong dalam kempen Piala Asia B-23 2024.
Ini selepas Malaysia tewas 1-2 kepada Kuwait pada aksi terakhir Kumpulan D di Stadium Al-Janoub di Al Wakrah, Qatar, malam ini.
Kekalahan itu juga menyaksikan Malaysia melakar hatrik kekalahan di Qatar dan menduduki tangga tercorot Kumpulan D.
Aksi penuh drama bermula apabila penjaga gol negara, Sikh Izhan dilayangkan kad merah pada minit ke-44 kerana mengasari pemain Kuwait di luar kotak penalti.
Pada minit ke-45, pengadil memberikan sepakan penalti kepada Kuwait selepas mendapati Umar Hakeem mengasari pemain lawan menerusi hasil penelitian VAR.

Kapten Kuwait, Salman Al Awadhi menyempurnakan sepakan penalti tersebut menewaskan penjaga gol gantian negara, Firdaus Irman sekali gus menjadikan kedudukan 1-0 memihak kepada Kuwait sehingga tamat separuh masa pertama.
Pada babak kedua, Malaysia yang beraksi dengan 10 pemain bermula garang dan berusaha keras untuk mencari gol penyamaan.
Namun, keghairahan skuad negara melakukan serangan membawa padah apabila Kuwait melakukan serangan balas yang disudahkan menerusi tandukan deras Talal Al Qaisi pada minit ke-60.
Namun jaringan itu tidak mematahkan semangat pemain muda negara untuk mengandakan asakan.
Usaha skuad negara akhirnya membuahkan hasil apabila Haqimi Azim merembat masuk bola hantaran jarak jauh Nooa Laine untuk gol pertama Malaysia pada minit ke 63.
Pada minit ke-83, giliran Kuwait pula beraksi dengan 10 pemain apabila pengadil perlawanan, Alexander King melayangkan kad merah kepada Salman Al Awadhi kerana melakukan terjahan keras terhadap Umar Hakeem. Namun kesempatan itu gagal dimanfaatkan skuad negara untuk mencari gol penyamaan.
/file/publisher-c1a3f893382d2b2f8a9aa22a654d9c97/2024/04/9f9503650be91c29a75766c47bfa1b0a.jpg)
