Jurulatih mohon maaf, O'Donell kata sudah kenal pasti punca
Pengendali Harimau Muda Juan Torres Garrido memohon maaf kepada penyokong selepas anak buahnya mencatat prestasi buruk di pentas Piala Asia Bawah 23 Qatar.
Katanya, walaupun pemain bertungkus lumus, secara keseluruhannya, pasukan itu kurang memuaskan.
"Kami memiliki banyak peluang namun rata-rata pemain sudah keletihan selepas mengharungi tiga perlawanan dalam tujuh hari menyebabkan mereka kurang bertenaga.
"Jika dilihat pada setiap perlawanan, kami mencipta peluang sebelum lawan, namun kebanyakan gol lawan datang dari bola mati, dan pasukan yang mendahului mempunyai kelebihan terbesar," katanya.
Dia berkata demikian dalam sidang media selepas perlawanan terakhir menentang Kuwait yang berakhir awal pagi tadi.
Skuad negara kalah dalam semua perlawanan di peringkat kumpulan dan memberikan penalti kepada lawan dalam setiap perlawanan susulan aksi keras ketika bertahan.
Dalam perlawanan malam tadi, penjaga gawang Malaysia Sikh Izhan Nazrel turut dilayangkan kad merah selepas menanduk muka kapten pasukan Kuwait Salman Al Awadhi.
Skuad negara sebelum ini juga kalah kepada Vietnam dan Uzbekistan dan berakhir di kedudukan corot.
Menurut statistik, mereka menjaringkan satu gol berbanding bolos enam gol.
Sementara itu, Setiausaha Agung FAM Noor Azman Rahman berkata, mereka menunggu laporan Garrido sebelum mengambil langkah susulan.
Katanya, laporan itu akan dibentangkan kepada jawatankuasa pasukan kebangsaan, yang dipengerusikan presiden FAM Hamidin Mohd Amin.
Kecergasan perlawanan
Bagaimanapun, Pengarah Teknikal FAM, Scott O'Donell berkata, beberapa faktor dikenal pasti sebagai punca pencapaian buruk itu, terutama masalah kurang kecergasan perlawanan.
Katanya, hanya empat pemain mendapat banyak minit perlawanan iaitu Sikh Izhan (2,250 minit), Mukhairi Ajmal (1,684 minit),T. Saravanan (1,252 minit) dan Safwan Mazlan (1,063 minit),
"Selebihnya pemain-pemain lain hanya memiliki minit permainan kurang daripada itu dalam saingan Liga Super 2023," katanya, seperti dilaporkan media.
Dalam masa sama, katanya, Liga Malaysia untuk musim ini belum bermula, berbanding negara-negara lain di pentas sama.
Bahkan, bukan setakat itu, malah latihan pramusim banyak kelab juga belum bermula.
Struktur pertandingan
Sementara itu, O'Donell juga berkata FAM perlu melihat semula kepada penstrukturan pertandingan peringkat bawah umur supaya pemain terdedah kepada perlawanan berdaya saing
Katanya, menurut Persatuan Kelab-Kelab Eropah (ECA), purata jumlah perlawanan yang perlu dimainkan setiap pasukan remaja kelab dalam lingkungan 35 hingga 50 perlawanan setahun.
Bagaimanapun, katanya, untuk Piala MFL 2023 (pertandingan B23 kebangsaan), perlawanan minimum hanya 12 perlawanan dan maksimum 20 perlawanan bagi pasukan yang layak ke final.
O'Donell juga berharap agar skuad B23 negara dapat menggunakan jendela antarabangsa FIFA dengan lebih baik pada masa akan datang.
Perkara itu perlu dilakukan dengan memberikan mereka lebih pendedahan antarabangsa untuk bermain sebagai satu pasukan dan bukan hanya menyediakan pasukan sebelum sesuatu kejohanan bermula.
"Jika kita tidak dapat mengaturkan perlawanan persahabatan antarabangsa B23 pun, kita sekurang-kurangnya boleh mengadakan kem latihan untuk memberi peluang kepada jurulatih lebih mendekati pemain pada setiap jendela antarabangsa FIFA.
"Kita harus menerima hakikat bahawa kita tidak selalunya akan dapat menggunakan pemain-pemain terbaik untuk skuad B-23 negara, jadi kita harus mengembangkan lagi senarai pemain B23 yang layak bersama skuad muda negara," katanya.
/file/publisher-c1a3f893382d2b2f8a9aa22a654d9c97/2024/04/02458a2176603803fe63493bbadd6d85.jpg)
