Paling Popular
Terkini
mk-logo
Sukan
Perlawanan Piala Sumbangsih dibatal, JDT dapat 3 mata
Diterbitkan:  May 9, 2024 3:46 PM
Dikemaskini: 8:47 AM

Pasukan JDT bergelar juara Sumbangsih buat kali ketujuh berturut-turut selepas Selangor FC (SFC) kekal menarik diri daripada perlawanan pembukaan Liga-M itu yang sepatutnya berlangsung di Stadium Sultan Ibrahim, Iskandar Puteri, di Johor esok.

Dalam kenyataan Liga Bolasepak Malaysia (MFL) hari ini, keputusan Red Giants dimaklumkan dalam satu surat rasmi sekali gus menyaksikan skuad Harimau Selatan itu diberikan kemenangan walkover dengan jaringan 3-0.

JDT turut memperoleh tiga mata bagi saingan liga oleh MFL memandangkan perlawanan Sumbangsih menyumbang kepada kutipan mata bagi Liga Super musim 2024/2025.

Kenyataan itu juga memaklumkan perkara-perkara lain berhubung penarikan diri SFC akan dibawa ke peringkat Ahli Lembaga Pengarah MFL untuk tindakan selanjutnya.

Selasa lalu SFC menghantar permohonan menangguhkan aksi Piala Sumbangsih selepas bintang utamanya Mohamad Faisal Abdul Halim cedera akibat disimbah asid oleh dua individu tidak dikenali.

Bagaimanapun MFL - yang mendapat jaminan keselamatan pada hari perlawanan - menolak permohonan SFC itu semalam.

SFC kemudian mengumumkan keputusan menarik diri dan ia turut mendapat perkenan Sultan Selangor Sultan Sharafuddin Idris Shah.

- Bernama


Sertai saluran WhatsApp Malaysiakini BM sekarang untuk mendapatkan perkembangan berita terkini!


Sertai saluran WhatsApp Malaysiakini BM sekarang untuk mendapatkan perkembangan berita terkini!

Lihat Komen
ADS