Paling Popular
Terkini
mk-logo
Sukan
Selangor FC: Jangan buat andaian kes pecah rumah Ahmad Khuzaimi
Diterbitkan:  May 24, 2024 1:02 PM
Dikemaskini: 5:02 AM

Selangor FC meminta orang ramai tidak membuat andaian atau spekulasi berhubung insiden rumah pemain pertahanan pasukan itu Ahmad Khuzaimi Piee dipecah masuk Rabu lepas.

Dalam satu kenyataan hari ini, kelab itu memaklumkan kes berkenaan harus diserahkan sepenuhnya kepada polis untuk menjalankan siasatan dengan sebaiknya.

Kelab mengambil maklum berkenaan insiden yang menimpa Ahmad Khuzaimi dan laporan polis sudah dibuat.

"Insiden itu menyebabkan Ahmad Khuzaimi mengalami kerugian harta benda, namun dia dan keluarga selamat dan tidak mengalami sebarang kecederaan fizikal.

"Pihak kelab kecewa dengan apa yang berlaku dan mengutuk sekeras-kerasnya sebarang bentuk jenayah di negara ini,” menurut kenyataan yang dimuat naik dalam Facebook Selangor FC itu.

Selangor FC turut mendoakan keselamatan serta kesejahteraan Ahmad Khuzaimi dan keluarganya serta berharap pelaku dapat ditangkap dan dibawa ke muka pengadilan.

Semalam, Ketua Polis Daerah Shah Alam ACP Mohd Iqbal Ibrahim dilaporkan berkata pihaknya sedang memburu dua suspek yang disyaki memecah masuk rumah Ahmad Khuzaimi serta melarikan sebuah motosikal dan empat beg pelbagai jenama milik mangsa.

Menurut Mohd Iqbal, siasatan awal polis mendapati suspek yang dipercayai menggunakan kenderaan pelbagai guna (MPV) berwarna putih itu bertindak melarikan motosikal jenis Yamaha Y15R ketika meninggalkan rumah mangsa.

Terdahulu, Ahmad Khuzaimi berkongsi laporan polis yang dibuat melalui akaun media sosial miliknya berhubung kediamannya dipecah masuk dengan beliau kehilangan sebuah motosikal, empat beg pelbagai jenama dan pasport antarabangsa.

Menurut Ahmad Khuzaimi, beliau menyedari kejadian itu sejurus pulang daripada sesi latihan pada 9 malam selepas mendapati pintu pagar depan dan belakang rumah telah terbuka.

- Bernama


Sertai saluran WhatsApp Malaysiakini BM sekarang untuk mendapatkan perkembangan berita terkini!

Lihat Komen
ADS