Persatuan Bola Sepak Malaysia (FAM) menerima tamparan hebat susulan peletakan jawatan secara mengejut naib presidennya, Shahril Mokhtar, yang juga timbalan presiden Persatuan Bola Sepak Selangor (FAS).

Shahril, yang merupakan pengerusi jawatankuasa penajaan dan pemasaran FAM dan pengurus skuad Bawah 23 tahun negara, mengesahkan peletakan jawatannya kepada media hari ini.

"Saya secara rasmi sudah meletakkan semua jawatan di FAM dengan serta-merta," kata pengerusi jawatankuasa teknikal Selangor FC itu dalam kiriman Whatsapp kepada media, lapor NST.

Shahril bagaimanapun tidak menjelaskan lebih lanujut punca dia meletak jawatan.

Namun, ia dipercayai ada kaitan dengan hukuman yang dikenakan ke atas Selangor FC oleh Liga Bolasepak Malaysia (MFL), semalam.

Semalam MFL mendenda Selangor FC sebanyak RM100,000 manakala mata yang diperolehi pasukan itu dalam saingan Liga Super musim ini dipotong tiga mata.

Keputusan itu dibuat selepas Ahli Lembaga Pengarah MFL mengadakan mesyuarat bagi membincangkan ketidakhadiran Selangor FC pada perlawanan Piala Sumbangsih menentang JDT di Stadium Sultan Ibrahim di Johor pada 10 Mei lalu.

Skuad Gergasi Merah itu juga perlu membayar pampasan kerugian ditanggung JDT selaku pasukan tuan rumah perlawanan pembukaan dan MFL, dengan jumlahnya akan dimaklumkan kelak.

Tidak cukup dengan itu, MFL juga menetapkan perlawanan Liga Super minggu ke-14 di antara Selangor dan JDT di Stadium Majlis Bandaraya Petaling Jaya (MBPJ) akan berlangsung tanpa penonton.

Untuk rekod Selangor FC sebelum ini menarik diri daripada menyertai perlawanan Piala Sumbangsih menetang JDT susulan insiden jenayah serta ancaman membabitkan pemain sayap mereka, Faisal Abdul Halim.

Susulan hukuman yang dikenakan MFL, Sultan Selangor, Sultan Sharafudin Idris Shah hari ini menzahirkan perasaan murka baginda.

Dalam titahnya baginda turut memetik secara khusus nama Presiden FAM Hamidin Mohd Amin yang dianggap "langsung tidak serius bersuara" sedangkan dia merupakan bekas setiausaha agung Persatuan Bola Sepak Selangor (FAS).

"Beta amat murka dengan keputusan terbaharu MFL ini yang beta anggap tidak bertanggungjawab, dibuat tanpa ihsan, tidak berperikemanusiaan, dan tidak mempamerkan keprihatinan terhadap kezaliman yang berlaku," titah baginda.

Sultan Sharafuddin juga berpandangan bahawa hukuman yang dijatuhkan oleh MFL ke atas Selangor FC sebagai tidak masuk akal dan amat berlebihan memandangkan kemenangan telah pun diberikan kepada pasukan lawan.