Selangor lancar Tabung Solidariti Selangor FC
Kerajaan Selangor menerusi Majlis Sukan Negeri Selangor (MSNS) melancarkan Tabung Solidariti Bersama Selangor FC bermula semalam sehingga 2 Julai ini.
Exco Belia, Sukan dan Keusahawanan Selangor, Mohd Najwan Halimi berkata inisiatif itu diadakan susulan keputusan tidak adil dan menindas yang dikenakan oleh Malaysian Football League (MFL) kepada Selangor FC.
"Inisiatif ini bertujuan untuk memberikan ruang kepada semua rakyat Malaysia dan para peminat sukan bola sepak merentasi batas kenegerian untuk menzahirkan dukungan kepada Selangor FC dengan sumbangan kecil RM1 kepada Tabung Solidariti Bersama Selangor FC.
"Hasil dari sumbangan ini kemudiannya akan diserahkan kepada pihak Selangor FC bagi membantu mereka memperjuangkan keadilan sehingga ke peringkat tertinggi terhadap hukuman melampau yang telah dijatuhkan oleh MFL,” katanya dalam kenyataan.
MFL kelmarin memaklumkan Selangor FC dikenakan empat bentuk hukuman termasuk denda RM100,000 dan pemotongan tiga mata dalam saingan Liga Super 2024/2025 susulan tidak hadir pada perlawanan Sumbangsih di Stadium Sultan Ibrahim di Iskandar Puteri, Johor bulan lepas.
Pasukan itu juga perlu membayar pampasan kerugian ditanggung Johor Darul Ta’zim (JDT) selaku pasukan tuan rumah perlawanan pembukaan Sumbangsih dengan jumlahnya akan dimaklumkan kelak.
Selain itu MFL juga menetapkan perlawanan Liga Super minggu ke-14 antara Selangor dan JDT di Stadium Majlis Bandaraya Petaling Jaya (MBPJ) akan berlangsung tanpa penonton.
Bagaimanapun, Selangor dalam satu kenyataan malam tadi memaklumkan sedang meneliti serta mengkaji semua saluran bersesuaian bagi mengambil tindakan seterusnya.
Selangor menjelaskan pasukan itu memohon penangguhan perlawanan Piala Sumbangsih selepas serangan asid terhadap pemain sayapnya, Faisal Halim pada 5 Mei yang lalu, dan beberapa lagi insiden melibatkan pemain bola sepak tanah air, namun permohonan tersebut telah ditolak.
Semalam MFL berkata Selangor FC boleh membuat rayuan sehingga hujung minggu ini.
/file/publisher-c1a3f893382d2b2f8a9aa22a654d9c97/2024/06/f6bdbbe620b8954cb163288b4197a225.jpg)
