'Inilah keindahan bola sepak!'
Kempen mengumpul dana bagi membantu Selangor FC membayar melunaskan denda yang dikenakan ke atas mereka mengumpul RM20,000 ketika ia belum sampai 24 jam dibuka.
Menteri Besar Selangor, Amirudin Shari, petang ini juga memaklumkan sumbangan yang diterima bukan saja datang daripada individu yang berada di Selangor.
"Para penyumbang hadir dari seluruh negara. Dari Sabah hingga Johor, rakyat bersolidariti.
"Inilah keindahan sukan bola sepak. Terima kasih!" ciap Amirudin di X.
Selangor membuka tabung untuk mengumpul dana sehingga RM100,000 selaras dengan denda yang dikenakan oleh Malaysian Football League (MFL) dan FAM ke atas Selangor FC kerana menarik diri daripada pertandingan Piala Sumbangsih pada 10 Mei lalu.
Selangor FC sepatutnya bertemu kelab JDT selaku juara Liga Super namun mengambil keputusan menarik diri ekoran keganasan jenayah yang berlaku ke atas salah seorang pemain mereka, Faisal Halim.
Keputusan menarik diri itu turut mendapat restu dan perkenan Sultan Selangor, Sultan Sharafuddin Idris Shah.
Tidak cukup dengan dendan RM100,000 itu, Selangor FC juga dipotong tiga mata dan dipaksa bermain dalam stadium sendiri yang dikosongkan semasa menentang JDT tidak lama lagi.
Sultan Sharafuddin semalam mengeluarkan titah untuk menzahirkan rasa amat murka baginda terhadap hukuman tersebut. Baginda antara lain menganggapnya sebagai tidak berperikemanusiaan.
Selangor kemudian bersetuju membuka tabung bagi membolehkan orang ramai menunjukkan solidariti kepada Selangor FC dan Faisal melalui pengumpulan dana bersama.
Exco negeri serta beberapa Adun juga menyatakan ikrar untuk menyumbang bagi meringankan tanggungan Selangor FC.
/file/publisher-c1a3f893382d2b2f8a9aa22a654d9c97/2024/06/4b0a08d013668608172579c69aeadca8.jpg)
