Penampilan bersahaja atlet menembak dari Turkiye di Olimpik Paris semalam menarik perhatian jutaan orang kerana jelas berbeza berbanding yang lain.

Terlibat dalam kategori 10 meter berpasukan campuran, Yusuf Dikec lebih menuari pujian kerana bersama rakan senegaranya, Sevval Ilayda Tarhan, memenangi pingat perak.

Kebiasaannya, peserta acara menembak akan tampil dengan pelbagai kelengkapan yang canggih seperti cermin mata khas dan pelindung telinga.

Yusuf sebaliknya hanya memakai cermin mata biasa, sepasang penyumbat telinga, dan menyasarkan pistolnya sambil satu tangan diselitkan ke dalam poket seluar.

Perbuatan itu mengundang pelbagai reaksi daripada pengguna media sosial X.

“Turki menghantar lelaki berusia 51 tahun tanpa lensa khusus, penutup mata atau pelindung telinga dan meraih pingat perak,” kata @PicturesFoIder.

"Saya tahu seorang pembunuh terlatih apabila saya melihatnya," gurau @kirawontmiss.

Seorang lagi pengguna X turut berkongsi keterujaan melihat gaya Yusuf di pentas sukan antarabangsa itu.

“Saya suka bagaimana semua orang menggunakan lensa khusus untuk menembak bagi mengelakkan kekaburan dan meningkatkan ketepatan.

“Kemudian Turkiye menghantar seorang lelaki yang kelihatan seperti baru sahaja mengambil senjata untuk berseronok dan memenangi perak,” komen @JoePompliano.

Laporan media memberitahu ia merupakan penampilan kelima buat Yusuf di Sukan Olimpik, namun kali pertama berjaya membawa pulang pingat untuk negaranya.

Penampilan pertamanya adalah semasa Olimpik 2008 yang berlangsung di Beijing, China.

Yusuf bersama Sevval Ilayda berjaya meraih pingat perak setelah mengalahkan Damir Mikec dan Zorana Arunovic dari Serbia dengan mata sebanyak 16-14.

Dia kemudian menzahirkan kegembiraannya menerusi Instagram miliknya kerana berjaya mengharumkan Turkiye.

“Saya sangat gembira kerana kami telah memenangi pingat Olimpik pertama dalam sejarah republik ini untuk negara saya mempunyai 85 juta rakyat yang menghantar kami dengan doa mereka.

“Pingat ini milik Republik Turki,” katanya menerusi Instagram.

Yusuf ialah seorang penembak berpengalaman dan pernah berkhidmat sebagai pegawai waran kanan dalam Gendarmerie Turki, sebuah pasukan ketenteraan negara itu.